Verstappen menang Grand Prix Itali
September 7, 2025 @ 10:50pm

Pemandu Red Bull Racing, Max Verstappen meraikan kemenangan Grand Prix Formula Satu Itali di litar Autodromo Nazionale Monza, Monza, Itali. - Foto REUTERS
MONZA: Max Verstappen meraih kemenangan Grand Prix Itali dari petak utama hari ini sekali gus melengkapkan kemenangan berganda di bumi Itali.
Pelumba Red Bull itu tidak digugat di hadapan, manakala pendahulu Formula Satu, Oscar Piastri, menyaksikan kelebihan mata dunianya berkurang kepada 31 mata selepas diarahkan menyerahkan semula kedudukan kedua kepada rakan sepasukan dan pesaing kejuaraan, Lando Norris.
Norris pada mulanya berada di tempat kedua tetapi masalah pada alat pembuka tayar di hentian pit ketika akhir perlumbaan menyebabkan dia kehilangan 5.9 saat dan jatuh di belakang Piastri, meskipun pasukan sudah memberi jaminan dia tidak akan kehilangan kedudukan kepada pelumba Australia itu.
Piastri kemudian diminta menyerahkan semula kedudukan dan akur menamatkan saingan di tempat ketiga, manakala Verstappen meluncur tenang ke garisan penamat untuk kemenangan pertamanya sejak Imola pada Mei lalu — dan melakukannya di 'laman' Ferrari. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/09/1443395/verstappen-menang-grand-prix-itali
|