TUDM teliti semua aspek dalam keputusan beli jet Hornet terpakai Kuwait
Oleh Fuad Nizam - Ogos 26, 2025 @ 12:24pm

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan muktamad rancangan pembelian jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait. - Foto hiasan BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan muktamad rancangan pembelian jet pejuang F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris, menolak dakwaan bahawa perjanjian itu telah dibatalkan, sambil menegaskan bahawa semua pertimbangan masih dalam proses penilaian.
"Kami sedang melihat kepada semua aspek sebelum membuat keputusan. Tarikh penghantaran, kos, penyelenggaraan, logistik – semua ini perlu diambil kira," katanya kepada New Straits Times.
Beliau berkata satu delegasi TUDM dijadualkan melawat Kuwait pada September sebagai sebahagian daripada proses penilaian.
Terdahulu, timbul laporan yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa perjanjian itu dibatalkan berikutan ketidakpastian mengenai tempoh penghantaran dan kos naik taraf yang tinggi.
AS benarkan Malaysia beli Hornet dari Kuwait Sebelum ini, Amerika Syarikat telah memberi kelulusan terhadap cadangan Malaysia untuk memperoleh jet pejuang F/A-18 Hornet dari Kuwait. Bekas Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan mengesahkan Washington telah memberi kebenaran yang diperlukan bagi perjanjian itu.
Perolehan yang dinanti-nantikan itu membabitkan kira-kira 30 Hornet, terdiri daripada F/A-18C (satu tempat duduk) dan F/A-18D (dua tempat duduk) yang kini digunakan Tentera Udara Kuwait.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini berkata pesawat yang diperoleh Kuwait pada era 1990-an itu secara umumnya masih dalam keadaan baik.
Ketika lawatannya ke Kuwait pada Oktober lalu, Khaled turut menyatakan negara Teluk itu tidak mempunyai sebarang halangan terhadap hasrat Malaysia untuk memperoleh jet Hornet tersebut.
Ketika ini, aset pesawat tempur TUDM terdiri daripada F/A-18D Hornet dan Sukhoi Su-30MKM Flanker.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/08/1438214/tudm-teliti-semua-aspek-dalam-keputusan-beli-jet-hornet-terpakai
|