London: Walaupun Mohamed Salah mungkin tidak tersenarai dalam kalangan pilihan utama bagi anugerah Ballon d'Or 2025, dia tetap menjadi pilihan utama Casemiro.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, persaingan untuk merebut Ballon d'Or menjadi topik hangat.
Achraf Hakimi, Lamine Yamal dan Ousmane Dembele kini bersaing hebat untuk merebut trofi berprestij itu.
Walaupun pemain Maghribi, Achraf Hakim dilihat mempunyai sedikit kelebihan, Casemiro mempunyai pandangan berbeza.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, bekas pemain tengah Real Madrid itu memilih Mohamed Salah yang cemerlang bersama Liverpool musim ini selaku pemenang Ballon d'Or 2025.
"Bagi saya, Ballon d'Or milik Mohamed Salah. Dia pemain terbaik. Dia menjaringkan begitu banyak gol, menghasilkan banyak bantuan gol.
"Pemain paling lengkap musim lalu adalah Salah," kata pemain Manchester United itu.
Salah menjadi watak penting Liverpool dalam meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu, yang juga musim pertama Arne Slot bersama The Reds.