Kuala Terengganu: Pesawat Bombidier dan bot peronda Penggalang 45 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digunakan untuk mengesan seorang lagi warga Turkiye yang dilaporkan hilang selepas kapal layar dinaiki bersama dua rakannya karam dibadai ribut, Selasa lalu.
Pengarah APMM Terengganu Hamiludin Che Awang berkata, Ops Carilamat bagi mencari mangsa, Eser Demirkol, 32, digerakkan menerusi udara dan laut bermula 8.30 pagi hari ini.
Menurutnya, dua lagi mangsa, Ates Dameroren, 42, dan Ahmet Volkan Ata, 32, yang juga kapten kapal terbabit yang ditemukan selamat kini masih menerima rawatan dan pemeriksaan kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.
Sebelum ini, dilaporkan Ates ditemui bot tunda nelayan tempatan selepas 25 jam terapung di perairan Pulau Yu pada 12.30 tengah hari semalam. manakala kapten kapal, Ahmet ditemui kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Bidong oleh Pasukan Polis Marin (PPM) selepas terapung selama 48 jam.
Dalam kejadian Selasa lalu, bot dinaiki tiga pelayar terbabit yang dalam misi pelayaran mengelilingi dunia menggunakan kapal layar, Layar Daisy dalam perjalanan dari Pulau Tioman ke Pattani, Thailand sebelum berdepan dengan ribut di laut.
Pelayaran mereka dijadualkan berlabuh di Pelabuhan Pattani namun dibadai ribut sebelum karam di perairan Pulau Yu pada 2.30 petang Selasa.