Pesan COD makanan ke rumah kosong, samun peniaga wanita
Oleh Nurul Fatihah Sulaini - Julai 27, 2025 @ 6:46pm

Azamuddin menunjukkan ketulan emas yang dirampas susulan penahanan seorang lelaki disyaki terbabit kes samun tiga peniaga wanita yang menghantar pesanan makanan, pada sidang media di IPD Besut, hari ini. - NSTP/NURUL FATIHAH SULAINI
BESUT: Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terbabit kes samun tiga peniaga wanita yang menghantar pesanan makanan dibuatnya, dalam kejadian berasingan di daerah ini sejak Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata suspek berusia 32 tahun itu diberkas di rumahnya di Kampung Gong Medang sekitar jam 4.45 petang Isnin lalu.
Beliau berkata, suspek dipercayai menggunakan modus operandi memesan penghantaran makanan daripada mangsa menggunakan kaedah bayaran tunai ketika pesanan dihantar (COD).
"Suspek dikatakan memberi lokasi di sebuah rumah kosong berhampiran tepi hutan, dan memakai pelitup muka ketika menunggu kehadiran mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut di sini, hari ini.
Azamuddin berkata, suspek dipercayai mendapatkan maklumat latar belakang mangsa melalui media sosial sebelum menjadikan peniaga terbabit sebagai sasaran.
Beliau berkata, insiden pertama membabitkan seorang peniaga kek batik disamun wang tunai serta barang kemas di Kampung Tembila pada 24 Jun lalu.
"Kejadian kedua membabitkan seorang peniaga makanan sejuk beku dengan barang kemas miliknya disamun di Kampung Gong Medang pada 9 Julai lalu.
"Dalam insiden ketiga, seorang peniaga kuih 'cek mek molek' disamun menggunakan pisau sehingga cedera di bahagian tangan di Kampung Tembila pada 20 Julai lalu," katanya.
Azamuddin berkata, jumlah kerugian semua mangsa membabitkan 83.26 gram emas dengan nilai pasaran RM30,000 serta wang tunai RM200.
Beliau berkata, suspek dipercayai menjual barang kemas berkenaan kepada seorang lelaki berusia 27 tahun sebelum emas terbabit dileburkan.
"Hasil semakan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan kes samun," katanya sambil memaklumkan keputusan saringan ujian air kencing lelaki itu bagaimanapun negatif.
Hasil penahanan suspek, beliau berkata, polis turut merampas barang kes meliputi dua ketulan emas yang dileburkan, telefon bimbit, surat gadaian barang kemas serta sebuah kereta Honda City.
Susulan itu, katanya, suspek direman mulai 22 Julai lalu hingga hari ini tetapi akan disambung bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/07/1425318/pesan-cod-makanan-ke-rumah-kosong-samun-peniaga-wanita
|