Jihad Dadah bukan retorik: Rampasan meningkat 49 peratus dalam enam bulan
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - Julai 17, 2025 @ 9:31am

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika hadir pada Majlis Perhimpunan Bulanan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Nilai rampasan dadah di Kelantan meningkat sebanyak 49 peratus kepada RM13.4 juta sepanjang enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lalu RM6.8 juta.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata jumlah tangkapan membabitkan kesalahan narkotik pula merekodkan seramai 14,618 individu.
"Dari segi rampasan dadah menyaksikan peningkatan sebanyak 49 peratus manakala bagi statistik tangkapan pula menyaksikan penurunan tiga peratus.
"Ini menunjukkan kejayaan besar dalam usaha memerangi sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah," katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan, hari ini.
Jelasnya, usaha memerangi jenayah dan dadah ini adalah satu bentuk jihad moden yang menuntut keikhlasan, keteguhan, dan pengorbanan.
Justeru katanya, tema polis Kelantan "Jihad Dadah" bukanlah retorik, tetapi adalah realiti perjuangan pihaknya saban hari.
"Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan satu kejayaan besar yang membanggakan. Petugas dari Cawangan Unit Kereta Peronda (MPV) Daerah Kuala Krai berjaya melakukan rampasan dadah jenis ganja bernilai RM3.1 juta.
"Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anggota yang terbabit atas keberanian, kecekapan dan integriti tinggi yang ditunjukkan dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah.
"Inilah contoh sebenar anggota yang menjunjung tinggi nilai khidmat bakti, selaras dengan visi besar kita "Jihad Dadah."
"Kejayaan ini bukan sekadar statistik, tetapi bukti nyata bahawa semangat jihat menentang dadah terus mentala dalam warga Polis Kelantan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/07/1420917/jihad-dadah-bukan-retorik-rampasan-meningkat-49-peratus-dalam-enam-bulan
|