Pelajar ada bukti nasi basi, ulat dalam makanan
Hidayatidayu Razali[email protected]

FOTO HIASAN.
Kota Bharu: "Kami beritahu ada nasi basi dan ulat dalam makanan serta ada bukti yang diberi oleh pelajar," kata wakil pelajar di sebuah kolej swasta, Mohd Irman Adly, 20-an.
Menurutnya, yang menikmati makanan itu kemudiannya sakit perut dan berulang alik ke tandas.
Katanya, dia bersyukur kerana tidak menjamah makanan yang dikatakan penyebab kepada masalah berkenaan.
"Selain pelajar, turut mengalami sakit yang sama adalah beberapa rakan tahun satu yang menjadi fasilitator.
"Saya mohon pihak pengurusan kolej supaya memastikan hidangan yang disediakan selamat untuk dimakan bagi mengelak masalah berkenaan berulang," katanya.
Mohd Irman yang juga fasilitator program orientasi pelajar baru berkata, ramai yang sakit perut, muntah dan pening kepala terpaksa dibawa ke hospital atau klinik kesihatan.
Menurutnya, situasi itu adalah pertama kali berlaku membabitkan lebih 100 pelajar hingga menyebabkan program orientasi terpaksa dihentikan.
Tinjauan di kolej swasta berkenaan semalam mendapati masih ada pelajar mengalami gejala sakit perut, cirit birit, loya dan pening kepala.
Media melaporkan seramai 343 individu termasuk penuntut baharu, ahli jawatankuasa (AJK) dan kakitangan orientasi sebuah kolej swasta di bandar ini disyaki mengalami keracunan makanan yang diisytiharkan wabak pada 3 petang semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, wabak keracunan makanan di sebuah kolej di sini membabitkan 343 kes membabitkan 134 pesakit dikesan ketika mereka datang untuk rawatan atau Passive Case Detection (PCD) dan 209 kes adalah pesakit dikesan oleh anggota kesihatan atau Active Case Detection (ACD).
Disiarkan pada: Julai 10, 2025 @ 3:45pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/07/1239357/pelajar-ada-bukti-nasi-basi-ulat-dalam-makanan
|