CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 741|Reply: 0

Asyik 'lapar' tumpuan

[Copy link]
Post time 18-5-2025 08:55 PM | Show all posts |Read mode


Kecelaruan personaliti histrionik (HPD) ialah gangguan personaliti yang dicirikan corak tingkah laku dramatik, emosi berlebihan dan keinginan mendalam untuk mendapat perhatian.


Kelebihan individu yang menghidap HPD adalah mempunyai kemahiran bersosial yang baik namun cenderung menggunakan kemahiran ini untuk memanipulasi orang lain untuk menjadi pusat perhatian.


Individu dengan HPD kebiasaannya sering bersikap sangat ekspresif secara emosi, mencari pujian dan boleh menjadi tidak selesa jika tidak menjadi pusat perhatian.


Di Malaysia, statistik khusus HPD sukar diperoleh kerana kesedaran dan diagnosis masih rendah.


Bagaimanapun, kajian dijalankan mendapati HPD lebih kerap dikesan dalam kalangan wanita, walaupun puncanya belum difahami sepenuhnya.




Pengasas Pusat Psikologi dan Latihan Atma, Dr Faridhil Athrash Sallehan berkata, punca sebenar gangguan personaliti ini tidak diketahui.


Katanya, walaupun punca sebenar tidak diketahui, kajian mendapati masalah ini dipercayai berpunca hasil daripada gabungan beberapa faktor.


"Antaranya, HPD berpunca daripada genetik di mana pesakit mempunyai kecenderungan keturunan kepada gangguan personaliti.


"Selain itu, persekitaran iaitu pengalaman zaman kanak-kanak seperti kurang perhatian ibu bapa atau ganjaran berlebihan kepada tingkah laku tertentu turut dilihat sebagai punca seseorang mengalami HPD.


"Gaya keibubapaan tidak konsisten atau terlalu memanjakan turut menyumbang kepada masalah gangguan personaliti ini," katanya.




Beliau berkata, individu mempunyai sejarah keluarga yang mengalami gangguan personaliti berisiko mengalami HPD kerana mereka dibesarkan dalam persekitaran tidak stabil atau tidak konsisten daripada segi emosi.


Menurutnya, antara gejala seseorang yang menghidap HPD adalah sentiasa mencari perhatian.


"Selain emosi yang cetek dan mudah berubah. Tingkah laku menggoda atau tidak sesuai secara seksual.


"Seseorang yang mengalami HPD mempunyai percakapan dramatik tanpa perincian, mudah terpengaruh oleh orang lain dan sukar menerima kritikan," katanya.


Mengulas lanjut, HPD boleh memberi kesan serius terhadap hubungan sosial, prestasi kerja dan kualiti hidup jika tidak dirawat.


"Individu mengalami HPD sukar membina hubungan jangka panjang, sering berdepan dengan ketidakstabilan emosi.


"HPD juga menyebabkan seseorang mempunyai tingkah laku dramatik yang mengganggu sosial dan pekerjaan serta kesukaran menerima kritikan atau gagal mengawal emosi," katanya.


Katanya, terdapat beberapa pilihan rawatan untuk individu yang menghidap HPD termasuk psikoterapi terutamanya kognitif tingkah laku (CBT).


"Selain itu, pesakit boleh menjalani rawatan terapi psikodinamik juga boleh membantu dalam memahami konflik dalaman.


"Ubat seperti antidepresan atau anti anxiety mungkin digunakan jika terdapat simptom kemurungan atau kebimbangan," katanya.


Ditanya sama ada HPD boleh pulih sepenuhnya, Dr Faridhil berkata, 'pulih' bermaksud mampu mengurus simptom dengan baik, bukan hilang sepenuhnya.


"Gangguan personaliti jangka panjang, tetapi ramai pesakit menunjukkan peningkatan besar dengan rawatan konsisten," katanya.


Bagi mencegah HPD dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa perlu mempunyai kesedaran berkenaan kepentingan keseimbangan emosi semasa mendidik anak.


"Apabila melihat sebarang gejala berkaitan HPD ditunjuk anak-anak, ibu bapa perlu segera mengambil intervensi awal terhadap masalah tingkah laku.


"Selain itu, sokongan emosi yang sihat perlu dibina sejak dari usia muda dan menggalakkan kesedaran kesihatan mental dalam masyarakat dan sekolah.


Beliau berharap masyarakat lebih terbuka dalam memahami gangguan mental seperti HPD.


"Individu dengan HPD bukan sekadar 'mencari perhatian,' tetapi menghadapi kesukaran sebenar dalam mengawal emosi dan hubungan.


"Anda dinasihatkan supaya mendapatkan bantuan profesional dan menerusi sokongan serta rawatan yang betul, kualiti hidup mereka boleh meningkat dengan ketara," katanya. - HARIAN METRO


This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Category: Kesihatan


ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

9-2-2026 11:27 PM GMT+8 , Processed in 1.036978 second(s), 20 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list