Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Orang mukmin yang kuat itu lebih baik dan disukai Allah dari orang mukmin yang lemah. Rebutlah perkara yang mendatangkan manfaat dan mohonlah pertolongan Allah, jangan lemah semangat. Jika engkau ditimpa kesusahan, jangan engkau berkata,
“Kalau aku buat begini tentu jadi begini” tetapi katakanlah, “Ini takdir Allah”. Segala yang dikehendaki Nya terlaksana. Ini kerana perkataan “kalau” bererti engkau membuka peluang kepada syaitan untuk menghasut”.
Maksud orang mukmin yang kuat sebagaimana yang disebut di dalam hadis ini adalah orang mukmin yang tidak mudah berasa lemah, malah terus berusaha bersungguh-sungguh untuk maju dalam hidup sehingga menjadi golongan yang kuat dan dihormati masyarakat seluruhnya.
Manakala maksud orang mukmin yang lemah pula ialah orang mukmin yang lemah semangat dan mudah kecewa apabila usaha mereka menemui kegagalan. Mereka juga sentiasa bimbang dan ragu-ragu dalam melakukan sebarang usaha atau tindakan. Perasaan sebeginilah menjadikan mereka orang mukmin yang lemah.
Hadis ini mengajar kita bahawa umat Islam hendaklah berusaha sedaya upaya demi memajukan diri dan ummah. Usaha yang bersungguh-sungguh akan menjadikan umat Islam kuat. Untuk itu, maka Islam membuka seluas-luasnya peluang bekerja dan bertindak asalkan pekerjaan itu halal dan baik.
Namun demikian, dalam masa yang sama, umat Islam dituntut supaya percaya kepada takdir Allah. Umat Islam ditegah daripada berkata,
“Kalau aku buat begini, sudah tentu jadi begini”
Itu kerana kata-kata tersebut seolah-olah menafikan takdir Allah. Sekiranya seseorang itu telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi takdir menentukan dia tidak berjaya, maka pasrah dan bersyukurlah kepada Allah kerana pasti disebaliknya ada hikmah tersembunyi yang kita tidak ketahui.
Sesungguhnya umat Islam ditegah daripada menyalahkan takdir apabila hasil yang diperoleh tidak setimpal dengan usaha yang dicurahkan. Apa yang pasti, rasa kekecewaan membuka peluang kepada syaitan untuk menipu manusia sehingga merosakkan amal kebajikan dan mencacatkan kemurnian akidah serta kepercayaan mereka kepada takdir Allah.
Sebab itu Islam mengingatkan mereka supaya elakkan guna perkataan “kalau” apabila gagal mencapai hasil yang diharapkan. Janganlah kita sekali-kali memberi peluang kepada syaitan untuk menipu kita menjadi mukmin yang kuat dan bermanfaat kepada agama, bangsa dan negara. Wallahu a’lam. - UTUSAN TV
|