BERBEZA dengan kebanyakan lelaki, kaum Hawa biasanya terkenal dengan sifat lemah-lembut dan sopan santun.
Namun, terdapat segelintir wanita yang tidak mempunyai ciri feminin sehingga ia menjejaskan kehidupan mereka.
Di TikTok, seorang wanita turut berkongsi cerita mengenai diri sendiri yang memiliki sifat kasar dan tidak reti bermanja.
"Dalam hidup ni, perkara yang paling aku menyesal adalah dengan satu sifat aku sendiri. Sifat tak pandai tunjukkan kasih sayang.
"Bukan dekat mak ayah saja, malah semua orang. Aku penat jadi kasar, aku teringin nak jadi macam orang lain.
"Aku tak reti belai-belai orang, cakap lembut-lembut," tulisnya menerusi luahan yang tular di platform video itu.
Menurut wanita yang tidak mendedahkan identiti diri itu lagi, sukar untuk dia mengubah sifatnya kerana kerana ia sudah sebati.
Malah katanya, sifat itu juga menyebabkan segelintir individu menganggap dia sebagai manusia yang tidak mempunyai hati dan perasaan.
"Sumpah penat apabila dah terbiasa didik diri sendiri untuk jadi terlampau tegas. Sampai orang ingat kita ni tak ada hati dan perasaan.
"Tapi dalam diri ini, hancur tu Tuhan saja yang tahu. Maaf, aku tak pernah tunjuk sayang melalui kata-kata. Tak pandai belai macam orang lain. Sebab memang pelik pun untuk diri sendiri jadi macam tu.
"Sampai sekarang, benda tu paling susah nak ubah dan aku memang tahu, benda tu yang akan aku kesal sampai bila-bila. Aku tak pandai tunjuk kasih sayang dekat orang," tulis wanita itu lagi.
Di ruangan komen, ramai wanita yang memiliki ciri-ciri sama turut berkongsi kisah hidup mereka.
"Saya pun macam ni. Apabila dah kahwin, susah nak tunjuk kasih sayang dekat suami.
"Orang tengok kita kasar tapi sebenarnya kita tak reti nak tunjuk macam mana.
"Satu hari nanti apabila awak jumpa lelaki yang tepat, akan keluar segala manja dan kelembutan tu... percayalah," tulis beberapa netizen. - mStar
|