|
View: 32720|Reply: 0
|
Isyarat jari telunjuk, tengah tanda kian hampir
[Copy link]
|
|
|
Apakah kaitan antara terutusnya Nabi Muhammad SAW dengan Hari Kiamat?
Nabi Muhammad SAW adalah tanda pertama yang menunjukkan kedekatan Hari Kiamat. Baginda bersabda: "Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini" - (Hadis Riwayat al-Bukhari), sambil merapatkan jari telunjuk dan jari tengah. Ini menunjukkan bahawa selepas diutusnya Baginda, dunia semakin menghampiri kiamat. Ulama menyatakan bahawa dengan kelahiran dan pengutusan Baginda, fasa terakhir kehidupan dunia telah bermula, dan peristiwa kiamat hanyalah menunggu waktu yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Mengapa Nabi SAW disebut sebagai Nabiyussa'ah (Nabi saat terjadi kiamat)?
Baginda SAW disebut sebagai Nabiyussa'ah kerana Baginda adalah nabi yang terakhir diutus sebelum kiamat. Allah SWT tidak akan mengutuskan lagi nabi lain selepas Baginda. Ini menunjukkan bahawa zaman kerasulan Nabi Muhammad SAW adalah detik awal bagi perjalanan menuju Hari Kiamat. Dalam sejarah peradaban manusia, kehadiran seorang rasul atau nabi menandakan satu fasa baharu dalam kehidupan manusia. Namun, dengan pengutusan Nabi Muhammad SAW, ini menjadi penutup kepada era kenabian dan petanda bahawa dunia sedang bergerak menuju penghujungnya.
Apakah maksud hadis yang menyatakan Nabi SAW diutuskan pada 'nasmi al-Sa'ah'?
Perkataan nasmu berasal dari nasim yang bermaksud hembusan angin kecil, menunjukkan bahawa kedatangan Nabi SAW adalah tanda awal kiamat. Ia juga boleh bermaksud bahawa Baginda diutuskan di akhir penciptaan manusia sebelum kiamat tiba. Dalam erti kata lain, tiada lagi umat baharu yang akan diwujudkan selepas umat Nabi Muhammad SAW, menjadikan umat ini sebagai umat terakhir sebelum dunia berakhir. Ini memperkuatkan lagi kefahaman bahawa kita sedang berada dalam tempoh akhir zaman.
Bagaimana isyarat jari dalam hadis menunjukkan hampirnya kiamat?
Para ulama memberikan dua pandangan utama:
Pertama: Kedudukan jari telunjuk dan jari tengah yang rapat menunjukkan bahawa kiamat sangat hampir dengan masa kerasulan Nabi SAW.
Kedua: Panjang jari tengah berbanding telunjuk melambangkan zaman Nabi SAW diutuskan adalah sebelum kiamat, tetapi tidak jauh jaraknya.
Hadis ini menjadi satu peringatan kepada umat Islam bahawa tempoh masa dari zaman Baginda sehingga tibanya kiamat adalah sangat singkat jika dibandingkan dengan keseluruhan usia dunia ini. Oleh itu, setiap individu perlu memanfaatkan masa yang ada dengan sebaik mungkin.
Jika Nabi SAW telah wafat lebih 1400 tahun lalu, apakah ini bermakna kiamat masih jauh?
Tidak semestinya. Dalam perspektif masa di sisi Allah, tempoh 1400 tahun hanyalah sebentar. Kewafatan Nabi SAW adalah petanda besar bahawa umat manusia kini berada di akhir zaman dan semakin mendekati kiamat. Kita tidak boleh menganggap bahawa kerana kiamat belum terjadi, maka ia masih jauh. Sebaliknya, ia boleh berlaku pada bila-bila masa kerana hanya Allah yang mengetahui waktunya.
Apakah pandangan ulama mengenai tanda pertama kiamat?
Menurut Imam al-Qurtubi, tanda pertama kiamat ialah diutusnya Rasulullah SAW sebagai rasul akhir zaman. Selepas Baginda, tiada lagi nabi yang akan datang dan umat manusia akan terus menuju kiamat. Ini bermakna bahawa umat Islam hari ini sedang hidup dalam fasa akhir sejarah dunia. Oleh itu, mereka perlu lebih peka terhadap tanda-tanda kiamat yang telah disebut dalam hadis-hadis Nabi SAW.
Adakah manusia boleh mengetahui bila kiamat akan berlaku?
Tidak. Pengetahuan tentang masa sebenar kiamat adalah rahsia Allah SWT. Al-Quran menjelaskan: "Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Hari Kiamat: 'Bilakah masa datangnya?' Katakanlah: 'Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku…'" (Surah al-A'raf7:187). Tiada seorang manusia pun, termasuk para nabi dan malaikat, yang mengetahui saat sebenar kiamat akan berlaku.
Mengapa peringatan tentang kiamat penting bagi manusia?
Peringatan tentang kiamat adalah sebagai motivasi untuk meningkatkan ibadah, bertaubat dan mempersiapkan diri dengan amal soleh. Allah SWT berfirman: "Telah dekat kepada manusia hari menghisab segala amalan mereka, sedang mereka berada dalam kelalaian lagi berpaling (daripadanya)," - (Surah al-Anbiya' 21:1). Manusia sering lalai dengan urusan dunia sehingga melupakan hakikat bahawa mereka sedang menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Apakah pengajaran utama daripada hadis tentang kedekatan kiamat?
Manusia perlu sentiasa sedar bahawa masa yang tinggal di dunia sangat singkat. Oleh itu, kita harus berusaha meningkatkan ketakwaan dan tidak lalai daripada mengingati Allah SWT sebelum terlambat. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: "Umur umatku berbanding dengan umat-umat terdahulu hanyalah seperti waktu petang yang tinggal sebelum matahari terbenam," (Hadis Riwayat Ahmad). Ini menunjukkan bahawa kita berada di penghujung waktu dan perlu segera memperbaiki diri.
Bagaimana seharusnya kita mempersiapkan diri untuk menghadapi akhir zaman?
Sebagai umat Islam, kita harus meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan berzikir. Sentiasa bertaubat atas dosa yang telah dilakukan kerana kita tidak tahu bila ajal akan menjemput. Berpegang teguh kepada ajaran Islam dan menjauhi fitnah akhir zaman yang boleh menyesatkan kita. Menjaga hubungan baik dengan sesama manusia, bersedekah dan melakukan kebaikan. Mengukuhkan kefahaman terhadap ilmu akhir zaman agar tidak mudahterpedaya dengan fitnah Dajal dan ujian dunia.
Kesimpulannya, kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah tanda awal bahawa kiamat semakin hampir. Umat Islam perlu menyedari hakikat ini dan tidak lalai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT. Hanya dengan kembali kepada agama dan meningkatkan amalan soleh, kita dapat mempersiapkan diri untuk menghadapi kehidupan selepas mati dan segala peristiwa yang akan terjadi sebelum kiamat berlaku.
Penulis Timbalan Pengarah Usim Alamiyyah Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Sumber: Harian Metro
|
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
|