Pesawat tentera China. - Foto fail AFP
TAIPEI: Taiwan hari ini memaklumkan pihaknya mengesan 62 pesawat tentera China berhampiran pulau yang diperintah sendiri itu sepanjang tempoh minggu ini ketika dua kapal Amerika Syarikat (AS) berlayar di kawasan Selat Taiwan yang sensitif.
AS dan sekutunya kerap melalui Selat Taiwan sepanjang 180 kilometer bagi menegaskan statusnya sebagai laluan perairan antarabangsa dan tindakan itu mencetuskan kemarahan Beijing.
China tidak pernah memerintah Taiwan, namun mendakwa pulau demokratik itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya dan mengancam untuk membawa pulau itu di bawah kawalannya, termasuk melalui tindakan ketenteraan.
Taipei memaklumkan kapal AS itu berlayar dari utara ke selatan bermula 10 Februari lalu.
Tentera Pembebasan Rakyat China hari ini berkata, pihaknya sudah memantau pergerakan kapal pemusnah dan kapal kaji selidik lautan milik AS itu.
Jurucakap bagi Komando Medan Timur China, Kolonel Kanan Li Xi, dalam satu kenyataan berkata, tindakan AS itu menghantar isyarat yang salah sekali gus meningkatkan risiko keselamatan.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Taiwan, Sun Li-fang, menolak dakwaan itu dan menegaskan bahawa Taipei menyokong kebebasan pelayaran di Selat Taiwan.
"Mengenai situasi di sekitar Selat Taiwan, tidak perlu saya huraikan lagi siapa sebenarnya yang menjadi pencetus masalah.
"Semua negara jiran harus memahami isu ini secara mendalam," katanya kepada pemberita hari ini.
Pelayaran terbaru AS di Selat Taiwan adalah yang pertama sejak Presiden Donald Trump memegang jawatan pada Januari.
Ia dilakukan selepas Trump dan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, pada Jumaat lalu menyatakan bahawa mereka menentang sebarang cubaan untuk mengubah status quo (di Selat Taiwan) secara unilateral melalui kekerasan atau paksaan.
Data yang diterbitkan oleh Kementerian Pertahanan Taiwan menunjukkan 62 pesawat tentera China dikesan berhampiran pulau itu dalam tempoh 48 jam sehingga 6 pagi waktu tempatan hari ini, bertepatan dengan pelayaran kapal AS.
"Kami sudah memantau situasi ini dan akan bertindak balas dengan sewajarnya," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Taiwan adalah titik panas yang boleh mencetuskan konflik antara China dan AS yang juga penyokong utama serta pembekal senjata terbesar kepada pulau itu.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Beijing meningkatkan tekanan politik dan ketenteraan terhadap Taipei bagi memaksa pihak berkenaan menerima tuntutan kedaulatan China.
Sejak Presiden Lai Ching-te memegang jawatan pada Mei, China sudah mengadakan beberapa siri latihan ketenteraan berskala besar.
Pada 15 Oktober lalu, sebanyak 153 pesawat tentera China dilaporkan selepas Beijing mengadakan latihan ketenteraan berskala besar sebagai tindak balas terhadap ucapan Hari Kebangsaan.
Seminggu selepas latihan ketenteraan China diadakan, sebuah kapal perang AS dan sebuah kapal perang Kanada belayar melalui Selat Taiwan yang memisahkan pulau itu dengan tanah besar China.
|