PANAMA CITY: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, memberi amaran kepada Presiden Panama, Jose Raul Mulino bahawa Washington akan 'mengambil langkah perlu' jika Panama tidak segera menamatkan pembabitan China di Terusan Panama
Sehubungan itu, kerajaan Panama digesa segera mengambil tindakan mengakhiri apa yang dilihat oleh Presiden AS, Donald Trump, sebagai pengaruh dan kawalan China ke atas Terusan Panama.
Mulino, selepas perbincangan dengan diplomat tertinggi AS di Panama City, memberi isyarat beliau akan mengkaji semula perjanjian membabitkan China dan syarikat-syarikat negara itu serta mengumumkan kerjasama lanjut dengan AS dalam hal migrasi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kedaulatan negaranya ke atas laluan air kedua tersibuk di dunia itu tidak akan dibincangkan.
Rubio menyampaikan mesej daripada Trump, yang menyatakan kehadiran China melalui sebuah syarikat berpangkalan di Hong Kong mengendalikan dua pelabuhan berhampiran pintu keluar masuk terusan, adalah satu ancaman kepada laluan air itu.
Selain itu, ia juga melanggar perjanjian AS-Panama, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, dalam satu kenyataan.
"Rubio menjelaskan status quo ini tidak boleh diterima dan sekiranya tiada perubahan segera, AS terpaksa mengambil langkah perlu untuk melindungi haknya di bawah perjanjian sedia ada," katanya.
Bagaimanapun, Rubio tidak menyatakan dengan tepat langkah yang perlu diambil oleh Panama atau bentuk tindakan balas AS.
Apabila kembali semula ke Rumah Putih, Trump mengancam untuk mengawal Terusan Panama, yang dibina oleh AS pada awal abad ke-20 dan diserahkan kepada Panama pada 1999, atas dakwaan terusan itu kini dikendalikan oleh Beijing.
Beliau juga tidak menafikan kemungkinan menggunakan kekuatan tentera ke atas Panama, sekali gus mendapat kritikan daripada rakan dan seteru AS di Amerika Latin.
Minggu lalu di The Megyn Kelly Show, Sirius XM, Rubio berkata China boleh menggunakan pelabuhan untuk menutup terusan, laluan penting untuk perkapalan AS sekiranya berlaku konflik antara Beijing dan Washington.
Mulino berkata, pertemuannya dengan Rubio berlangsung dalam suasana penuh hormat dan mesra.
Beliau menunjukkan kesediaan untuk menyemak beberapa perniagaan China di Panama, termasuk konsesi 25 tahun penting kepada CK Hutchison Holdings, yang diperbaharui pada 2021 untuk operasi pelabuhan di pintu keluar masuk terusan, sementara menunggu keputusan audit.
Kontrak itu disasarkan oleh penggubal undang-undang AS dan kerajaan sebagai contoh pengembangan pengaruh China di Panama, yang mereka dakwa bertentangan dengan perjanjian berkecuali ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 1977.
Kerajaan Panama dan beberapa pakar menolak dakwaan itu, terutama kerana pelabuhan itu bukan sebahagian daripada operasi terusan terbabit.
Terusan berkenaan dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Terusan Panama, sebuah agensi autonomi yang diawasi oleh kerajaan Panama.
Menurut Mulino, perjanjian meluas antara Panama dan China untuk menyumbang kepada inisiatif Jalur dan Jalan China, di mana negara Asia itu mengembangkan pelaburan di Panama semasa pentadbiran terdahulu, tidak akan diperbaharui.
"Malah, kami akan mengkaji kemungkinan untuk menamatkannya lebih awal.
"Pada masa ini, saya tidak merasakan terdapat sebarang ancaman sebenar terhadap perjanjian (berkecuali), kesahihannya dan lebih-lebih lagi penggunaan kekuatan tentera untuk membuat perjanjian itu," katanya.
Sambil itu katanya penting untuk menghadapi perbincangan bersemuka dengan Trump.
China berkata pihaknya tidak memainkan peranan dalam mengendalikan terusan itu dan ia menghormati kedaulatan dan kemerdekaan Panama ke atas laluan air terbabit.
"China tidak pernah campur tangan" kata jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning ketika ditanya mengenai tuntutan AS bulan lalu, sambil menambah China mengiktiraf terusan itu sebagai 'laluan air antarabangsa yang neutral secara kekal'. - REUTERS
|