Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un. - Foto AFP
SEOUL: Korea Utara hari ini menempelak Setiausaha Negara Amerika Syarika (AS), Marco Rubio, kerana menggelarnya sebagai 'negara penyangak' sambil menyangkal komen diplomat berkenaan, yang dibuat dalam satu wawancara baru-baru ini, sebagai 'tidak berasas'.
Dalam penghinaan awam pertama Pyongyang terhadap pentadbiran baharu Trump, jurucakap Kementerian Luar Korea Utara turut menegaskan pihaknya 'tidak akan sekali-kali bertolak ansur dengan sebarang gertakan AS.
Korea Utara turut memberi amaran akan melakukan tindakan balas keras yang 'setara dengannya seperti biasa', menurut satu kenyataan yang disiarkan dalam agensi berita negara, KCNA.
Komen itu dibuat selepas Presiden AS, Donald Trump, yang memulakan tugasnya bulan lalu, berkata beliau akan 'menghubungi' pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, selepas pernah bertemunya ketika penggal pertamanya yang lalu.
Dalam satu temubual radio baru-baru ini, Rubio menyebut Korea Utara dan Iran sebagai 'negara penyangak' yang 'perlu didepani' dalam membuat keputusan dasar luar. Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, dan Pentadbir Pihak Berkuasa Terusan Panama, Ricaurte Vasquez, melawat kunci Miraflores di Terusan Panama, Panama City. - Foto REUTERS
Jurucakap Kementerian Luar berkata, Setiausaha Negara AS itu membuat ulasan secara tidak berasas dengan menggelarkan Korea Utara sebagai 'negara penyangak'.
"Kementerian Luar Korea Utara menganggap kenyataan bermusuhan Setiausaha Negara AS yang secara terang-terangan sengaja memburukkan imej negara berdaulat ini sebagai ancaman politik yang serius," katanya.
Secara umumnya Korea Utara terasing daripada dunia dari segi diplomatik dan ekonomi serta dikenakan sekatan ketat.
Program senjata nuklear Korea Utara menjadi duri dalam daging bagi AS selama bertahun-tahun.
Trump, yang pernah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan Jong-un (sesuatu yang amat jarang berlaku) semasa penggal pertamanya, bulan lalu berkata beliau akan menghubungi semula pemimpin Korea Utara itu, dengan menyifatkan Jon-un sebagai 'seorang yang pintar'.
Satu sidang kemuncak antara kedua-dua pemimpin di Hanoi pada 2019 gagal selepas perbincangan mengenai pelepasan sekatan dan apa yang sanggup diberikan Pyongyang sebagai timbal balik tidak membawa hasil.
Minggu lalu, meskipun ada usaha diplomatik oleh Trump, Korea Utara berkata program nuklearnya akan diteruskan 'tanpa had masa'. - AFP
|