Gambar hiasan/Facebook Klinik Kesihatan Lusong Laku, Belaga
KUCHING: Pengangkutan udara terus menjadi nadi utama bagi komuniti pedalaman di Malaysia Timur, memandangkan keadaan muka bumi yang mencabar serta keterbatasan infrastruktur jalan raya, menjadikan perjalanan udara pilihan paling praktikal untuk berhubung.
Selama beberapa dekad, Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) telah menjadi penghubung bagi kawasan terpencil ini yang sukar diakses, dengan menyediakan perkhidmatan penerbangan yang tidak berorientasikan keuntungan ke kawasan pedalaman seperti Lahad Datu di Sabah dan Ulu Baram di Sarawak.
Melalui perkhidmatan ini, penduduk di kawasan tersebut dapat mengakses keperluan asas serta berhubung dengan bandar-bandar utama dalam tempoh masa beberapa jam sahaja, berbanding perjalanan yang mungkin memakan masa berhari-hari melalui jalan darat.
Walaupun pada asalnya dijadualkan berakhir pada Disember 2024, keputusan kerajaan Persekutuan untuk melanjutkan subsidi RAS sehingga hujung tahun ini mencerminkan komitmen teguh mereka dalam mengekalkan hubungan untuk komuniti luar bandar.
Bagi memastikan perkhidmatan ini diteruskan, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM209 juta setahun untuk menampung kos operasi dan penyewaan pesawat. MASwings kini mengendalikan 40 laluan di Sarawak dan Sabah dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau, menyambut baik subsidi ini dan menyifatkan RAS sebagai satu ‘perkhidmatan komuniti’ yang sangat penting bagi penduduk Ulu Baram.
“Perkhidmatan ini, yang beroperasi melalui lapangan terbang Short Take-Off and Landing (STOLport) Long Akah di perkampungan Long San, Ulu Baram, memberi manfaat kepada beberapa perkampungan sekitar. Ia secara signifikan mengurangkan masa perjalanan antara Ulu Baram, Miri, dan Marudi.
“Perjalanan udara mengurangkan masa perjalanan darat enam jam ke Miri atau Marudi menjadi kurang daripada satu jam. Dalam kes kecemasan perubatan, perkhidmatan ini boleh menyelamatkan nyawa,” katanya sambil menyeru kerajaan untuk mengekalkan kadar tambang rendah yang disubsidi.
Di Ba’kelalan, di mana RAS telah beroperasi sejak tahun 1960-an, perkhidmatan udara masih menjadi keperluan utama untuk mengangkut barangan, menangani kecemasan, dan menghubungkan kampung-kampung terpencil.
“Menariknya, ramai penduduk kami pernah mengangkut bahan binaan seperti simen dan atap zink melalui penerbangan RAS ini. Malah, pelancong yang melawat Ba’kelalan juga bergantung kepada penerbangan ini,” kata ADUN Ba’kelalan Baru Bian.
Beliau turut menekankan kepentingan laluan Miri-Lawas-Miri, yang dianggap tetap relevan meskipun terdapat akses jalan balak sebagai alternatif.
“Laluan ini masih diperlukan kerana alternatifnya adalah melalui Brunei, yang sangat tidak praktikal dan memerlukan pasport. Saya percaya laluan ini tetap penting dan perlu diteruskan oleh RAS,” tambahnya.
Ahli akademik Prof. Datuk Dr Jayum Jawan, seorang Felo Akademi Sains Malaysia, turut memuji pendirian kerajaan, menyifatkannya sebagai tanggungjawab moral untuk menghubungkan komuniti luar bandar.
“RAS sememangnya tidak menguntungkan kerana bilangan penumpang yang rendah. Subsidi kerajaan sangat penting untuk mengekalkannya,” katanya, sambil mencadangkan agar syarikat penerbangan swasta turut menyumbang kepada perkhidmatan ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.
Beliau juga berpendaptan bahawa subsidi RAS perlu diteruskan walaupun selepas pengambilalihan MASwings oleh kerajaan Sarawak selesai.
“RAS tidak sepatutnya dilihat dalam perspektif ‘menjana keuntungan’, tetapi mesti seimbang dengan pertimbangan tanggungjawab sosial kepada rakyat. Beberapa laluan mungkin mengalami kerugian kerana permintaan rendah, tetapi menjadi tanggungjawab moral kerajaan untuk menyediakan akses kepada semua rakyatnya,” katanya.
Selesainya rundingan baru-baru ini antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) mengenai pengambilalihan MASwings Sdn Bhd menandakan lembaran baharu dalam evolusi RAS. Peralihan ini membuka peluang dan cabaran ketika negeri ini mengambil alih tanggungjawab menguruskan rangkaian udara penting ini secara bebas.
Pemuktamadan rundingan baru-baru ini antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) mengenai pengambilalihan MASwings Sdn Bhd menandakan lembaran baharu dalam evolusi Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS). Peralihan ini membuka peluang dan cabaran baharu apabila kerajaan negeri mengambil alih tanggungjawab untuk menguruskan rangkaian perhubungan udara penting ini secara berdikari.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Openg, baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan negeri telah memuktamadkan pengambilalihan MASwings, membuka jalan untuk Sarawak memiliki syarikat penerbangannya sendiri.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke ketika mengumumkan lanjutan subsidi pada Oktober lepas berkata bahawa selepas pengambilalihan, kementerian akan merundingkan perjanjian jangka panjang untuk perkhidmatan ini.
|