CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1544|Reply: 0

[Sarawak] Jualan Rahmah bukti keberkesanan meringankan kos sara hidup rakyat

[Copy link]
Post time 28-1-2025 04:29 PM | Show all posts |Read mode


Chiew yang mengadakan lawatan ke program Jualan Rahmah itu turut mengedarkan buah limau kepada orang ramai yang datang bagi mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan memohon rezeki serta kesejahteraan kepada penerimanya.

MIRI: Program Jualan Rahmah membuktikan keberkesanannya sebagai satu inisiatif yang mampu meringankan kos sara hidup rakyat, khususnya pada saat cabaran ekonomi semakin dirasai, kata Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.

Katanya, melalui program itu, barang-barang keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan produk lain dijual pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan keperluan harian pada kos yang lebih mampu milik.

"Apa yang lebih penting ialah program ini bukanlah satu program bersifat adhoc atau sekali sahaja. Sebaliknya, Jualan Rahmah dianjurkan secara berkala di pelbagai lokasi sekitar Miri.

"Dengan pelaksanaan secara berterusan, program ini dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai penduduk dan memastikan setiap lapisan masyarakat, terutama golongan B40 dan M40, mendapat bantuan yang konsisten dalam menangani tekanan kos sara hidup," katanya.

Terdahulu, beliau telah melawat Program Jualan Rahmah Bergerak yang diadakan di Che Sing Khor Moral Uplifting Society, anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada hujung minggu lalu.

"Program ini sangat bermakna, terutama apabila ia dianjurkan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina 2025 yang akan datang, di mana keperluan isi rumah meningkat dan bantuan kepada rakyat amat diperlukan.

"Saya ingin menyeru kepada semua penduduk Miri supaya mengambil peluang ini dengan mengunjungi lokasi-lokasi yang telah ditetapkan untuk Jualan Rahmah. Selain membantu mengurangkan beban kewangan keluarga, kehadiran anda juga akan menyokong usaha baik yang dijalankan oleh KPDN dan rakan penganjur lain," tambah beliau.

Chiew turut melahirkan rasa komited untuk terus bekerjasama dengan KPDN Miri dalam menganjurkan lebih banyak program seperti ini pada masa depan.

Katanya, kerjasama erat ini penting untuk memastikan setiap usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi impak positif kepada kehidupan rakyat, sekali gus mencerminkan prinsip MADANI yang mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat.

"Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk para petugas, sukarelawan dan pembekal.

“Usaha gigih anda telah membantu memastikan rakyat Miri dapat menyambut perayaan dengan lebih tenang dan bahagia.

"Marilah kita bersama-sama menyokong inisiatif-inisiatif seperti ini demi membina komuniti yang lebih sejahtera dan harmoni di Miri," katanya.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 08:53 AM GMT+8 , Processed in 0.037713 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list