Keadaan siling dan dinding rumah di Tungkah Melayu, Simunjan yang terlibat kebakaran hari ini. - Gambar JBPM
KUCHING: Tindakan pantas penghuni memadam api pada bahagian siling dan dinding telah menyelamatkan rumahnya di Tungkah Melayu Simunjan daripada musnah terbakar, awal pagi tadi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kejadian hanya melibatkan kerosakan harta benda.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sekitar jam 6 pagi tadi.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan telah bergegas ke lokasi yang terletak pada jarak 44 kilometer dari balai.
Setibanya di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis, melibatkan 30 peratus bahagian siling dan dinding.
Pasukan bomba melakukan pemadaman susulan bagi memastikan tiada lagi punca api. - Gambar JBPM
Kebakaran berjaya dipadam oleh penghuni dengan menggunakan air paip sebelum pihak bomba tiba di lokasi.
“Pasukan keluaran operasi bertindak membentang satu aliran dan membuat pemadaman susulan bagi memastikan tiada lagi punca api,” katanya.
Setelah memastikan semua punca api padam sepenuhnya, pasukan keluaran operasi bertolak balik ke balai.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian belum dapat dipastikan.
|