CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 3427|Reply: 0

[Sarawak] 45,313 wanita di Sarawak jalani ujian HPV DNA kesan kanser serviks, 2019-2024

[Copy link]
Post time 28-1-2025 01:24 PM | Show all posts |Read mode


Nancy melakukan simbolik perasmian sempena Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan Tahun 2025 di Kuching, sambil disaksikan tetamu kehormat lain. - Gambar Mohd Faisal Ahmad

KUCHING: Seramai 45,313 wanita di seluruh Sarawak telah menjalani ujian saringan virus papiloma manusia (HPV) DNA bagi mengesan kanser pangkal rahim atau serviks dari 2019 hingga 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, sebanyak 3,037 kes positif HPV telah dikesan.

“Walaupun hanya 3,037 kes positif HPV dilaporkan, kita berjaya mencegah lebih banyak kes menjadi kanser menerusi usaha pengesanan awal. Ini adalah bukti jelas bahawa usaha kita memberikan impak.

“Kita mahu setiap wanita sedar bahawa kanser serviks boleh dicegah dan dirawat, terutama dengan pengesanan awal melalui teknologi perubatan yang semakin maju," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan Tahun 2025 di sini, hari ini.

Nancy menegaskan bahawa kanser serviks sering dipanggil sebagai ‘pembunuh senyap’ kerana jarang menunjukkan gejala pada peringkat awal.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 katanya, sebanyak 65 peratus wanita berumur 20 tahun ke atas tidak menjalani saringan kanser serviks dalam tiga tahun terakhir.

Antara alasan utama ujarnya, ramai wanita merasakan diri mereka sihat daripada sebarang penyakit, tidak mengalami sebarang gejala dan terikat dengan kekangan masa.

"Namun pada hakikatnya, gejala tidak semestinya menjadi penanda aras untuk kesihatan. Ujian HPV DNA mampu mengesan jangkitan sehingga 10 tahun sebelum ia berubah menjadi kanser.

"Dengan teknologi terkini, kita boleh mengesan risiko lebih awal dan mengambil tindakan segera," ujarnya.

Sehubungan itu, Nancy gembira berkongsi perkembangan positif di Malaysia, di mana laporan Kanser Kebangsaan menunjukkan penurunan insiden kanser serviks dari tangga ketiga ke tangga keenam antara kanser wanita bagi tempoh 2017 hingga 2021.

“Lebih membanggakan, kanser serviks merupakan satu-satunya kanser dalam kalangan wanita yang mencatatkan penurunan insiden ini,” katanya.

Untuk rekod, seramai 162,581 wanita di seluruh Malaysia telah menjalani saringan dari tahun 2019 hingga 2024.

Daripada jumlah itu, 10,582 kes positif HPV dikesan, 135 kes prakanser dikenal pasti dan 17 kes positif kanser telah dirawat.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 08:44 AM GMT+8 , Processed in 0.145548 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list