SAMPAIKAN: Saat menyampaikan cenderahati kepada A’nas semasa kunjungan KOPEKS ke Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) telah mengadakan perjumpaan dengan pegawai utama Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat di ibu negara baru-baru ini.
Perjumpaan itu bertujuan membincangkan dana korporat untuk memperkukuh perancangan strategik koperasi sekali gus memastikan kelangsungan program pembangunan koperasi.
Dalam perjumpaan terbabit, Naib Presiden sektor PMKS dan Koperasi 3 Bank Rakyat, A’nas Salehuddin turut menzahirkan pujian kepada KOPEKS atas prestasinya yang memberangsangkan dan 'among the top in Bank Rakyat'.
Beliau turut menekankan pentingnya sokongan dan kerjasama berterusan demi memastikan perancangan perniagaan KOPEKS dapat direalisasikan dengan jayanya.
Pihak KOPEKS optimis permohonan dana itu akan membuahkan hasil, sekali gus memberi peluang untuk memperluaskan operasi koperasi serta memperkukuh kedudukan KOPEKS sebagai salah satu koperasi terkemuka di Malaysia.
ALBUM: KOPEKS yang diketuai Saat merakamkan gambar kenangan di perkarangan lobi utama Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pertemuan itu dihadiri Pengerusi, Datuk Dr. Haji Saat Haji Ag Damit; Setiausaha, Nismah Kanak; Bendahari, Ag Azmee Ag Kati; serta Ahli Lembaga Koperasi (ALK), Abdul Ghafor Ag Yaacob dan Ag Masri Awang Matusin; Ketua Pegawai Eksekutif, Buvil Angkui dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Rita Rantian.
Sementara itu, pihak Bank Rakyat turut dihadiri wakilnya, Azimin Ghafar (Pengurus PMKS & Koperasi 3), Mohamad Sufian Mohd Yusof (PMKS & Koperasi 1), Azlin Hamzah, Pengurus PMKS & Koperasi 1, Siddiq, dan Ahmad Syukri.
Pertemuan yang diadakan antara KOPEKS dan Bank Rakyat mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memajukan sektor koperasi di negara ini.
KOPEKS berharap hubungan erat perniagaan dengan Bank Rakyat dapat diteruskan bagi mencapai matlamat bersama yang lebih besar.
|