Edited by sfhzuraz at 28-1-2025 10:13 AM
'Abah beria-ia minta salam, berpeluk'
NURUL HIDAYAH HAMID
28 Januari 2025 09:35am
Mohd Danial Ikmal (kiri) dan Mohd Danial Irfan (kanan) menunjukkan gambar ibu bapa mereka yang maut dalam kemalangan di Thailand pada Isnin.
KULIM - Seorang pemuda tidak menyangka permintaan bapanya yang beria-ia meminta mereka bersalam dan berpelukan akan menjadi petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Mohd Sofi Ismail dan isterinya, Zaimima Ismail masing-masing berusia 43 tahun maut selepas motosikal berkuasa tinggi Kawasaki GTR1400 yang dinaiki terbabit kemalangan di Chumphon, Thailand pada Isnin.
Anak mangsa, Mohd Danial Ikmal, 21, berkata, arwah bapanya tidak pernah membuat permintaan terbabit kepada dia dan adik lelakinya, Mohd Danial Irfan,13, sebelum ini.
"Bagaimanapun, pada hari Ahad minggu lepas, arwah secara tiba-tiba bertanya kepada kami tidak mahu salam dan peluk dengan abah kah.
"Sedangkan, sebelum ini arwah tidak pernah beria-ia sedemikian," katanya ketika ditemui di Masjid Darul 'Ulum Merbau Pulas, di sini, pada Selasa.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak merasakan permintaan terbabit sebagai sesuatu yang aneh memandangkan bapanya memang suka bergurau.
Mohd Danial Ikmal memberitahu, dia dan adiknya terus menunaikan permintaan bapanya dengan bersalam dan berpelukan sebelum mereka bertolak ke Thailand.
Tambahnya lagi, ibu bapanya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sehinggalah mereka dikejutkan dengan berita kemalangan yang meragut nyawa insan tersayangnya itu.
"Melalui panggilan video, emak janji balik Isnin malam, jadi saya tak sangka akan berlaku kejadian ini.
"Emak juga memberi pesanan berulang kali melalui panggilan video supaya menjaga adik dengan baik," katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Danial Ikmal menambah, ibu bapanya mengetahui bahawa isterinya telah hamil selama dua bulan.
Sehubungan itu, katanya, dia berasa agak terkilan kerana mereka tidak sempat menimang cucu berikutan kejadian kemalangan itu.
Sementara itu, kongsi Mohd Danial Ikmal, dia menerima berita kemalangan menimpa bapa dan ibunya melalui WhatsApp daripada bapa saudaranya.
"Saya dalam perjalanan ambil adik di tempat niaga, bagaimanapun saya berhenti untuk baca mesej apabila menerima khabar itu,"katanya.
Menurutnya, dia kemudiannya cuba menghubungi nombor bapanya berulang kali, namun panggilan telefon terbabit tidak berjawab.
"Selepas itu, saya dapat tahu bahawa abah dan emak betul-betul terlibat dalam kemalangan," katanya.
Menurutnya, dia sedih dengan kejadian menimpa ibu bapanya, bagaimanapun reda dengan kejadian yang berlaku.
Pada Isnin lepas, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri dilaporkan maut dalam kemalangan di Chumphon, Thailand pada Isnin.
Jenazah Mohd Sofi dan Zaimima dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul 'Ulum Merbau Pulas, di sini, kira-kira jam 5.30 pagi.
https://www.sinarharian.com.my/article/709643/edisi/utara/abah-beria-ia-minta-salam-berpeluk
|