Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio, di Jabatan Negara AS, Washington, AS. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Penderma terbesar di dunia, Amerika Syarikat (AS), membekukan dana bantuan luar negaranya semalam dengan pengecualian diberikan hanya untuk bantuan makanan kecemasan dan pembiayaan tentera kepada Israel serta Mesir.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menghantar memo dalaman beberapa hari selepas Presiden AS, Donald Trump, memegang jawatan, dengan ikrar dasar 'America First' atau Dahulukan Amerika, untuk mengehadkan bantuan ke luar negara dengan lebih ketat.
"Tiada dana baharu akan diperuntukkan untuk pertubuhan baharu atau sumbangan sedia ada sehingga setiap cadangan untuk bantuan baharu atau lanjutan sudah disemak dan diluluskan," kata memo kepada kakitangan yang dilihat oleh AFP.
Arahan itu nampaknya membabitkan segala bentuk bantuan merangkumi pembangunan hingga bantuan ketenteraan termasuk kepada Ukraine, yang menerima berbilion dolar bekalan senjata di bawah kepimpinan Joe Biden, ketika negara itu berusaha menangkis pencerobohan Russia.
Arahan itu juga bermakna penangguhan sekurang-kurangnya beberapa bulan bagi pembiayaan AS untuk PEPFAR iaitu satu inisiatif melawan HIV/AIDS bagi membeli ubat anti-retroviral untuk merawat penyakit berkenaan di negara membangun, terutama di Afrika.
Dilancarkan di bawah presiden George W Bush pada 2003, PEPFAR diiktiraf kerana menyelamatkan kira-kira 26 juta nyawa dan sehingga baru-baru ini mendapat sokongan dalam kalangan ahli politik di Washington.
Namun, memo berkenaan secara jelas membuat pengecualian untuk bantuan ketenteraan kepada Israel, yang mana pakej senjata utama dari AS kini bertambah besar sejak perang di Gaza.
Mesir pula, yang menerima pembiayaan besar pertahanan AS sejak menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada tahun 1979, turut terkecuali.
Rubio juga membuat pengecualian untuk sumbangan AS kepada bantuan makanan kecemasan, yang disalurkan negara itu selepas krisis di seluruh dunia, termasuk di Sudan dan Syria.
Ahli legislatif dari Parti Demokrat menyatakan bahawa lebih daripada 20 juta orang bergantung pada ubat melalui PEPFAR manakala 63 juta orang bergantung pada usaha pembasmian malaria yang dibiayai AS termasuk penggunaan kelambu.
"Selama bertahun-tahun, Republikan di Kongres telah mengkritik apa yang mereka lihat sebagai kekurangan kredibiliti AS berbanding negara seperti China, Russia dan Iran," kata Gregory Meeks, ahli Demokrat utama dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Dewan.
"Sekarang kredibiliti kita dipertaruhkan dan nampaknya kita akan menghentikan dan melarikan diri daripada komitmen AS kepada rakan-rakan kita di seluruh dunia," tulisnya dalam sepucuk surat.
Washington telah lama memanfaatkan dana bantuan asing sebagai alat dasar luar negaranya, sebagai bukti ia mengambil berat mengenai pembangunan, kerap membandingkan pendekatan itu dengan China, yang lebih tertumpu kepada kepada memperoleh sumber semula jadi.
Memo tersebut mengarahkan semakan dalaman terhadap semua bentuk bantuan asing dalam tempoh 85 hari.
Menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), yang memberi nasihat kepada negara perindustrian, AS memberikan lebih AS$64 bilion (RM281 bilion) dalam bantuan pembangunan luar negara pada 2023, tahun terakhir berdasarkan rekod sedia ada.
Trump, pada hari pertama memegang jawatan Isnin lalu, telah menandatangani perintah eksekutif untuk menggantung bantuan asing selama 90 hari, tetapi belum jelas bagaimana ia akan dilaksanakan. - AFP
|