Arau: Penetapan harga belian padi pada RM1,300 satu tan metrik yang diputuskan pada mesyuarat pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras, baru-baru ini, didakwa mampu 'membunuh' pesawah di Perlis yang semakin terhimpit dengan kos kenaikan harga barang.
Malah, tindakan itu dilihat tidak setimpal dengan kos yang terpaksa dibelanjakan oleh pesawah yang saban musim terus mengerjakan penanaman sawah padi walaupun diancam pelbagai ketidaktentuan harga belian padi, pasaran serta cuaca.
Lantaran itu, hampir 100 pesawah di negeri ini berganding bahu menyatakan bantahan terhadap harga belian padi berkenaan yang diumumkan sebelum ini sebagai solidariti kepada siri bantahan yang dijalankan oleh pesawah padi dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Kelantan sebelum ini.
Pesawah, Mohd Noor Hashim, 62, dari Kuala Perlis berkata, penurunan harga belian RM1,300 daripada RM1,800 sebelum ini oleh pengilang beras adalah satu paras harga yang tidak dapat diterima pesawah.
"Ia tidak setimpal dengan kenaikan harga benih, kos jentera membajak dan menuai yang terpaksa kami tanggung.
"Secara tidak langsung, harga ini 'membunuh' kami. Contoh, kos mengusahakan sawah padi untuk serelong (kira-kira 0.288 hektar) pun sekitar RM1,400 atau lebih daripada itu.
"Inikan pula apabila kerajaan membeli padi kami dengan harga RM1,300 satu tan metrik. Ia memang tidak cukup malah kami bertambah rugi, hanya penat sahaja 'bayarannya'," katanya ditemui di Himpunan Tuntutan Naik Harga Padi di Kampung Banat, Tambun Tulang, di sini.
Katanya, setiap petani yang mengerjakan sawah di negara ini akan rugi berterusan menanggung kos lain seperti sewa tanah, jentera dan lain-lain.
Seorang lagi pesawah, Hussam Ilias, 50, dari Kurong Anai, Guar Sanji berkata, penurunan harga belian padi menyebabkan petani hilang semangat untuk meneruskan kerja penanaman padi yang dikerjakan oleh mereka sejak bertahun lalu.
"Dengan harga RM1,300, apa yang boleh kami buat. Kami memang kerugian sekarang. Sebelum ini padi tenggelam akibat banjir tahun lalu, ditambah pula serangan tikus dan penyakit serta tanah jerlus, jadi apa lagi yang tinggal pada kami.
"Selaras dengan kenaikan harga barang serta diesel, kos lain seperti kos benih turut naik yang mana ia mencecah daripada RM58 ke RM70 sekampit.
"Manakala kos upah jentera naik daripada RM100 serelong kepada RM180 selain kos jentuai pula turut naik daripada RM100 ke RM170 bagi satu tan metrik.
"Dengan harga belian RM1,300, ia terlalu sukar buat kami untuk menerimanya," katanya.
Terdahulu, Mohd Noor dan Hussam menyertai hampir 100 pesawah dari seluruh Perlis yang turut disertai EXCO negeri, Mohd Ridzuan Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guar Sanji.
Mohd Ridzuan menggesa kerajaan 'turun padang' dan mendengar keluhan petani yang mengerjakan sawah, terutama di Perlis yang semakin dihimpit dengan kenaikan kos harga barang.