FOTO kiri ketika bermain ‘kahwin-kahwin’ di tadika, dan gambar kanan menunjukkan gambar terbaharu pasangan berkenaan.
Beijing: Suami isteri di China yang baru berkahwin awal bulan ini mendapat perhatian di media sosial kerana tampil sebagai pasangan pada pertunjukan gala di tadika tempat mereka bertemu dan belajar bersama kira-kira 20 tahun lalu.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, lelaki bernama Zheng, dan isterinya, yang namanya tidak didedahkan, mengadakan majlis perkahwinan mereka di Chaozhou wilayah Guangdong, di selatan negara itu, pada 7 Januari lalu, lapor Shandong Business News.
Istimewanya, pasangan itu bersekolah di tadika yang sama 20 tahun lalu tetapi dalam gred berbeza dan pernah bergambar sebagai pengantin di atas pentas di situ.
Menerusi klip video lama, pasangan itu masing-masing memakai gaun pengantin dan sut serta lengkap dengan solekan.
Sementara itu, beberapa kanak-kanak lain menari dan membuat persembahan sebagai pengantin perempuan dan pengantin lelaki dan terdapat gambar besar mereka berpegangan tangan di atas pentas.
Selepas habis bersekolah tadika, Zheng dan isterinya itu didaftarkan di sekolah rendah berbeza.
Mereka membawa haluan masing-masing sehingga 2022 apabila rakaman video itu disebarkan dalam kalangan rakan sekelas tadika Zheng.
Ibu Zheng, yang kebetulan melihat video itu, mencadangkan untuk mencari kanaka-kanak perempuan dalam pertunjukan berkenaan untuk melihat sama ada mereka boleh keluar bersama.
Zheng pula masih bujang dan ibu bapanya bimbang mengenai statusnya.
Hasil bantuan seorang guru tadika, Zheng berhubung dengan wanita berkenaan yang juga berstatus bujang.
Katanya, kedua-dua mereka menyesal kerana tidak berjumpa lebih awal dan jatuh cinta.
Netizen tertarik dengan kisah pasangan itu ditonton 76 juta kali pada satu platform dalama talian.
Disiarkan pada: Januari 22, 2025
|