Anggota perkhidmatan kecemasan Israel bertugas di lokasi serangan guna pisau di Tel Aviv, Israel. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Seorang penyerang warga asing menikam lima orang di Tel Aviv pada Selasa sebelum ditembak mati, menurut pihak berkuasa Israel.
Serangan tikaman itu berlaku di kawasan hiburan malam yang sibuk di ibu kota komersial Israel, yang dilihat seorang jurugambar AFP, telah dipagari pita keselamatan polis.
"Seorang pengganas dengan pisau mula menikam orang ramai secara rambang di Jalan Nahalat Binyamin, mencederakan empat orang awam sebelum mencederakan mangsa kelima di lokasi berhampiran," menurut kenyataan polis.
Polis mengenal pasti penyerang sebagai seorang warga asing berusia 28 tahun, yang ditembak oleh pasukan keselamatan. Jurugambar AFP turut melihat mayat lelaki itu terbaring di jalan.
Hospital Ichilov di Tel Aviv memaklumkan bahawa pihaknya menerima tiga mangsa tikaman, termasuk seorang dalam 'keadaan serius dengan luka tikaman di leher' dan sedang menjalani pembedahan.
Menteri Dalam Negeri, Moshe Arbel, menyatakan bahawa penyerang tersebut telah disoal siasat semasa tiba di Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv dan diberi kebenaran untuk memasuki negara itu.
Beliau menggesa ketua agensi keselamatan dalaman Shin Bet, Ronen Bar, supaya 'menyiasat insiden serius itu dan mengambil iktibar secepat mungkin'.
Shin Bet menyatakan bahawa penyerang telah disoal siasat dan menjalani 'ujian tambahan' sebelum dibenarkan memasuki Israel.
"Keputusan dibuat bahawa tiada maklumat yang menunjukkan alasan untuk menghalang kemasukannya ke Israel atas sebab keselamatan," menurut agensi itu, sambil memaklumkan bahawa siasatan lanjut akan dijalankan.
Tanpa membuat pengakuan rasmi, kumpulan pejuang Palestin, Hamas, dalam kenyataannya memuji serangan itu sebagai 'operasi tikaman berani', yang menunjukkan bahawa tentangan terhadap Israel 'semakin meningkat'.
Ini adalah kes tikaman kedua di Tel Aviv dalam tempoh empat hari, menyusuli kes seorang lagi penyerang mencederakan seorang mangsa dengan serius pada Sabtu sebelum ditembak oleh seorang orang awam bersenjata. - AFP
|