JENTERA bomba di lokasi kejadian. FOTO Reuters
Kartalkaya, Turkiye: Kebakaran besar mengorbankan sekurang-kurangnya 76 orang pada Selasa ketika ia memusnahkan sebuah hotel di pusat peranginan ski popular di utara Turkiye.
Kebakaran di Hotel Grand Kartal di Kartalkaya pada 3:30 pagi itu, menyebabkan kepulan asap besar dan mencetuskan panik dalam kalangan tetamu.
"Malangnya jumlah kematian kini 76 orang," kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya pada malam Selasa, mengemas kini angka awal 66 orang mati.
Beliau berkata, 52 daripada mangsa dikenal pasti setakat ini dengan pakar forensik berusaha untuk mengenal pasti identiti mangsa lain.
Mereka yang terselamat dan saksi mata menceritakan keadaan ketika orang ramai cuba melarikan diri, dengan beberapa orang melompat keluar dari tingkap atau menggunakan cadar sebagai tali sementara.
"Orang-orang di tingkat atas menjerit. Mereka membuang cadar dari tingkap, ada yang cuba melompat," kata Atakan Yelkovan, yang melarikan diri dari tingkat tiga bersama isterinya, memberitahu agensi berita IHA.
Seorang pekerja hotel yang sangat terkejut, yang tidak menyatakan namanya berkata, dia melihat tetamu di tingkap dan mereka menjerit meminta tolong.
"Saya melihat seorang bapa dengan bayinya dalam pelukannya meminta bantal supaya dia boleh membuang anaknya. Nasib baik dia menunggu perkhidmatan kecemasan yang menyelamatkan mereka," katanya kepada IHA.
"Tetapi di tingkat atas, dua wanita terpelanting keluar dari tingkap dan meninggal dunia," katanya sambil menjelaskan bahawa pelajar tinggal di tingkat atas hotel itu.
Tragedi melanda pada musim puncak untuk hotel ski itu, yang berdiri pada ketinggian 2,000 meter di atas paras laut, dan hampir penuh untuk cuti musim sejuk selama dua minggu yang bermula pada Jumaat.
Menteri dalam negeri berkata, 238 tetamu menginap di hotel itu. Di samping mangsa maut, 51 orang lagi cedera.
Disiarkan pada: Januari 22, 2025
|