BENDERA Myanmar (kanan) berkibar di atas bangunan kawalan sempadan di sebelah Myanmar ketika warga Myanmar berjalan di atas jambatan Persahabatan Thailand-Myanmar, seperti yang dilihat dari daerah Mae Sot, Thailand pada 12 April 2024. FOTO AFP
Yangon: Junta Myanmar menghantar pulang lebih 50,000 individu yang disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian, ke China, sejak Oktober 2023.
Sindiket penipuan itu berkembang pesat di kawasan sempadan Myanmar dan dikendalikan oleh warga asing yang sering diperdagangkan dan dipaksa bekerja, dengan menipu rakan senegara mereka, dalam industri yang penganalisis katakan bernilai berbilion dolar.
Sebuah editorial yang diterbitkan dalam akhbar Global New Light of Myanmar yang dikendalikan kerajaan pada 21 Januari memperincikan tahap aktiviti jenayah termasuk penipuan dalam talian dan perjudian secara terbuka buat kali pertama.
Junta menangkap dan menghantar pulang lebih 55,000 warga asing yang terbabit dalam penipuan sempadan ke negara asal mereka sejak Oktober 2023, dengan lebih 53,000 daripada mereka ke China.
Kumpulan kedua terbesar melebihi 1,000 individu adalah dari Vietnam, diikuti oleh Thailand dengan lebih 600 orang. Selebihnya datang dari kira-kira 25 negara lain, menurut akhbar itu.
Editorial itu menambah mereka yang bertanggungjawab bukanlah warga Myanmar atau orang awam asing biasa, tetapi pesalah dalam buruan yang memasuki Myanmar secara haram dari negara jiran.
Junta menyeru jirannya untuk turut serta dalam memerangi penipuan dan perjudian dalam talian.
Sempadan utara Myanmar dengan China sebelum ini menjadi sarang pusat penipuan dalam talian yang sering dikendalikan oleh militia.
Bagaimanapun, serangan menyeluruh oleh pakatan pemberontak etnik 'membersihkan' banyak pusat penipuan.
Media Myanmar tempatan melaporkan dalang penipuan yang melarikan diri daripada serangan itu membuka premis lebih jauh ke selatan di sepanjang sempadan dengan Thailand.
Disiarkan pada: Januari 22, 2025
|