Naib Presiden PBB Datuk Gerawat Gala mengetuai perwakilan PBB yang hadir melafaz ikrar di hadapan Abang Johari pada Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Utara di Miri, hari ini.
MIRI: Pemimpin Parti Pesaka Bumiputera (PBB) perlu mendidik golongan pelapis terutama dalam kalangan belianya dengan kebijaksanaan sebagai persiapan untuk mereka 'mengambil alih' tampuk kepimpinan dan memastikan parti itu kekal relevan.
Premier Sarawak yang juga Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sebagai tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah Sarawak, PBB perlu memastikan golongan pelapis benar-benar bersedia dan memiliki pengalaman serta kebijaksanaan mengemudikan Sarawak supaya negeri ini kekal di landasan yang betul dalam memacu pembangunan untuk negeri dan rakyatnya.
Menurutnya, pemimpin tertinggi PBB perlu bersedia apabila sudah tiba masa untuk mereka menyerahkan kepimpinan kepada golongan pelapis dengan menyediakan latihan yang sepatutnya, tanpa ada rasa iri hati serta mementingkan diri.
"Kita tidak boleh pentingkan diri sendiri. Bila tiba masanya (untuk berundur), maka pelapis kita, (pergerakan) Pemuda datang. Jadi, kita mesti memberi latihan kepada Pemuda.
"Saya fikir apa yang penting ialah parti mesti relevan. Kalau ada parti tetapi kepimpinan tidak relevan, bagaimana orang nak ikut? (Kerana) Kita ada Sarawak dan Sarawak ada kekuatan, (jadi) kita mesti jaga Sarawak," ujarnya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Utara di sini, hari ini.
Sidang media dan majlis perasmian mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh kedua-dua Timbalan Presiden PBB iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga pengerusi jawatankuasa mesyuarat.
Sebahagian daripada lebih 1,000 perwakilan dari 18 cawangan PBB yang hadir pada Mesyuarat Perwakilan PBB Zon Utara di Miri hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata, Sarawak memiliki masa depan yang amat cerah dengan PBB diharap menjadi mutiara dalam pembangunan Sarawak.
Katanya, pencapaian cemerlang Sarawak dalam pembangunannya, termasuk peranan penting yang akan dimainkannya dalam Grid Tenaga ASEAN di samping menerajui kemajuan dalam industri minyak dan gas, pengeluaran tenaga hidrogen, membangunkan ekonomi digital dan sebagainya, telah membuktikan kualiti pemimpin PBB, sekali gus meletakkan mereka pada standard yang tinggi hari ini.
Tambahnya, kepercayaan rakyat Sarawak kepada GPS telah membuatkan parti itu melangkah jauh, dengan kedudukan ekonomi yang mantap.
"Dari sudut kewangan kita, auditor kita telah memberi 'clean bill' kepada Sarawak. Auditor yang melihat cara kita menguruskan negeri kita sejak beberapa tahun, (membuktikan) kita tidak ada cacat cela.
"Pendapatan kita bertambah, bermakna kita mengurus dengan bijak. Kita juga antara lima negeri di Malaysia yang mengeluarkan eksport terbanyak," katanya sambil menambah, dari sudut penurunan kemiskinan, masih ada kekurangan dan ia akan diatasi dengan melahirkan generasi muda yang terpelajar dan berilmu pengetahuan.
"Sebab itu pada tahun 2026, kita akan memberikan pendidikan universiti percuma kepada anak sarawak. Bukan senang, yang bayar ini adalah GPS, pemerintahan di bawah PBB. Ini kejayaan kita.
"Kalau namanya kejayaan ini, mungkin ada yang cemburu. Sebab itu, kita mesti berjaga-jaga, kalau kita pandai, bagus, adalah orang akan cemburu. Mungkin ada yang mahu memecahbelahkan kita, jadi kita mesti berjaga-jaga.
"Kalau PBB kuat, mungkin ada yang tidak mahu PBB kuat, kalau GPS kuat, mungkin ada yang tidak mahu GPS kuat, jadi rancangan kita untuk Sarawak adalah supaya ia menjadi wilayah yang termaju pada 2030. Semangat kita mesti fokus dan jagalah kerja kita masing-masing," tambah beliau.
Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Exco Tertinggi PBB dengan lebih 1,000 perwakilan daripada 18 cawangan di Zon Utara dari Murum hingga ke Bukit Sari, Lawas.
|