LAWAS: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPMW5) Limbang merampas pelbagai jenama mercun dianggarkan bernilai RM21 juta dalam serbuan ke atas sebuah kapal kargo di Dermaga Lawas pada pagi Ahad lepas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata (gambar) dalam kenyataannya hari ini berkata, sepasukan Unit Risikan Marin (URM) PPMW5 Limbang bertindak menjalankan pemeriksaan ke atas kapal kargo terbabit pada jam 9.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan di atas kapal kargo tersebut, pasukan serbuan berjaya menemui lebih kurang 100 kotak mercun pelbagai jenis yang disyaki diimport dari negara luar untuk dibawa masuk ke negara ini.
“Juragan kapal yang juga warganegara Indonesia gagal mengemukakan dokumen sah daripada pihak kastam untuk membawa masuk mercun tersebut,” katanya.
Beliau berkata, suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (a) Akta Bahan Letupan 1957 iaitu, gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen berkaitan pemilikan atau penyimpan bahan letupan.
Jelasnya, suspek kini ditahan dan mercun tersebut telah dirampas dan dirujuk kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Lawas untuk tindakan dan siasatan di bawah Akta Bahan Letupan 1957.
|