Edited by Vellfire at 19-1-2025 10:24 PM
DAVID
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah menyeru para peniaga agar bertanggungjawab dan tidak menaikkan harga barangan keperluan semasa musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengerusi Cawangan Sabah Yayasan Pengguna Nasional Malaysia (YPNM), David Chan berkata, kenaikan harga yang tidak munasabah akan membebankan pengguna, terutamanya dalam tempoh di mana perbelanjaan sudah sedia tinggi.
"Kami juga mengingatkan peniaga yang menyediakan hamper perayaan agar memastikan semua barangan yang dimasukkan adalah berkualiti dan tidak hampir tarikh luput.
"Tindakan memasukkan barangan hampir tamat tempoh bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga memalukan pembeli yang memberi hamper ini sebagai hadiah kepada rakan dan keluarga," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima aduan mengenai harga ayam yang dijual pada kadar RM16.50 sekilogram.
Katanya, harga itu melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh kerajaan. Peniaga diingatkan bahawa barangan keperluan yang tertakluk kepada kawalan harga mesti dijual pada atau dibawah harga yang ditetapkan.
"Tindakan mengambil kesempatan atas permintaan tinggi semasa musim perayaan adalah tidak beretika dan melanggar hak pengguna.
"Pengguna yang mendapati terdapat ketidakpatuhan terhadap harga kawalan atau amalan tidak beretika digalakkan membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui saluran WhatsApp: 019-2794317 atau 088-484368 dan [email protected]," katanya.
|