Edited by Vellfire at 19-1-2025 01:01 AM
RAMPAS: Antara barangan yang dirampas sepanjang operasi yang dilaksanakan pihak PGA.
LAWATAN: Rombongan sekolah tidak melepaskan peluang merakamkan gambar bersama PGA dalam satu program di sini.
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya melaksanakan 19 serbuan dan merampas pelbagai barangan bernilai lebih RM24 juta sepanjang dua minggu pertama 2025.
Serbuan ini dijalankan menerusi pelbagai penugasan termasuk Op Taring Eszzone, Op Kontraban dan Road Check Point sehingga berjaya melaksanakan beberapa siri tangkapan serta rampasan.
Antara barangan yang dirampas termasuk rokok dan minuman keras tidak bercukai yang diseludup masuk ke negeri.
Komander Briged PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, sepanjang operasi serbuan berkenaan, pihaknya turut berjaya menahan 24 lelaki dan tujuh wanita.
Katanya, pihaknya turut memeriksa sebuah gudang menyimpan bunga api dengan lesen tamat tempoh di sekitar Inanam.
“Hasil serbuan, pihaknya menahan dua lelaki warga tempatan dan Indonesia yntuk membantu pemeriksaan keatas lebih kurang 6,645 kotak pelbagai bunga api," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Rani berkata, satu serbuan juga dijalankan di sekitar Batu 8 dan sebuah gudang di Kampung Mangkalinau, Batu 3, Sandakan.
Katanya, dalam serbuan berkenaan, seorang lelaki tempatan ditahan dan berjaya merampas 330,000 batang rokok kretek, 40,000 batang rokok putih dan 5,681 liter minuman keras pelbagai jenama.
“Dalam serbuan berkenaan, jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3.27 juta berdasarkan harga pasaran semasa termasuk cukai.
“Turut dirampas sebuah van serta jentera forklift dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Rani berkata, pihak polis menerusi PGA akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam mengawal keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Katanya, orang ramai juga diminta supaya sentiasa menjadi mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan kes penyeludupan untuk tindakan penguatkuasaan.
"Ia bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen aktiviti haram penyeludupan," katanya.
Sementara itu, Abdul Rani menegaskan, PGA Sabah menjalankan program Community Policing bersama masyarakat di Pulau Buta Eco Tourism, Resory Tebba Batang dan Sekolah Kebangsaan Bangingod.
Selain itu katanya, pihaknya turut melaksanakan program berkenaan di perkampungan Sungai Melayu dan Inderasabah, Tawau serta perkampungan Gading-Gading dan Pangi, Kunak.
“Tujuan program berkenaan dilaksanakan bagi menunjukkan kehadiran polis bagi menjamin keselamatan kawasan persekitaran dan perairan.
“Selain itu, ia juga bagi mengeratkan silaturahim PGA dengan masyarakat setempat menerusi perkongsian maklumat,” katanya.
|