CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22646|Reply: 0

[Sabah] UMS sahut seruan jayakan agenda Transformasi Pendidikan Tinggi Negara

[Copy link]
Post time 19-1-2025 02:13 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 19-1-2025 10:24 PM



KASIM

KOTA KINABALU: Warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik tujuh fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) serta 10 Agenda Transformasi Pendidikan yang menjadi hala tuju pendidikan tinggi negara pada tahun ini seperti yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir dalam perutusan tahun baharu beliau baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata, perutusan Tahun Baharu 2025 oleh Zambry memperlihatkan kepekaan beliau terhadap suara warga akademik yang mahukan satu dasar jelas dan setara dalam isu-isu seperti kenaikan pangkat pensyarah dan keperluan untuk mewujudkan mekanisme penilaian kepada pegawai sangkutan atau pinjaman.

“Kedua-dua isu ini amat kritikal untuk diperhalusi bagi membolehkan kelancaran perkembangan kerjaya warga akademik secara lebih inklusif dan adil.

“UMS menyahut seruan Menteri Pendidikan Tinggi ini sejajar dengan usaha pemerkasaan warga Universiti sebagai nadi KPT ‘The Brain Of The Nation’.

“Kolaborasi Universiti-Industri-Komuniti seperti yang disarankan juga akan menjadi agenda utama UMS dalam pelan perancangan pendidikan tinggi ini,” katanya ketika mengulas perutusan tahun baharu itu.

Kenyataan Kasim turut disokong Dekan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS, Prof. Madya Dr Lai Yew Meng yang menegaskan hala tuju KPT pada tahun ini adalah suatu perancangan strategik yang cukup komprehensif, holistik, terangkum, seimbang dan berwawasan.

“Fokus utama dan agenda transformasi yang digariskan mencerminkan agenda '3C' iaitu 'Change' (Perubahan), 'Continuity' (Kesinambungan) dan 'Consolidation' (Konsolidasi) yang bertujuan memacu serta memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara bagi menghadapi dunia yang kian bersifat VUCA (volatile, uncertain, complex, ambiguous).

“Sebagai Dekan PPIB, saya amat tertarik dengan Program 3 dalam Fokus 5: Governan dan Kepimpinan iaitu agenda untuk memantapkan Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU), iaitu kursus-kursus yang ditawarkan di PPIB.


LAI

"Pada hemat saya, agenda ini  sejajar dengan hala tuju dan aspirasi pendidikan tinggi negara yang berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

“Ia turut mencerminkan usaha KPT memastikan agar pendidikan tinggi negara sentiasa berpaksikan 'True North' yang membawa maksud 'matlamat hakiki' pendidikan  demi melestarikan elemen kemanusiaan atau keinsanan di sebalik perubahan ideologi dan transformasi global yang begitu pesat lagi mendadak,” katanya.

Sementara itu, Dekan, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS, Prof. Madya Dr. Mohd Hanafi Ahmad Hijazi berpendapat, terdapat penekanan yang signifikan terhadap penguasaan teknologi digital, khususnya kecerdasan buatan (AI), yang disebut dalam dua daripada tujuh fokus yang digariskan.

“Penghasilan bakat yang mahir dan beretika dalam AI, sama ada sebagai pencipta mahupun pengguna adalah amat kritikal sejajar dengan perkembangan pesat dan persaingan global dalam penggunaan AI.

“Hala tuju turut menyasarkan Pembangunan aplikasi AI dalam Pendidikan tinggi, bukan sahaja dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga dalam pengoperasian.

“Pendekatan ini memberi peluang kepada KPT untuk menjadi peneraju dalam penggunaan AI dalam agensi Kerajaan lantaran memanfaatkan kepakaran meluas yang dimiliki Kementerian,” katanya.

Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar turut mengulas bahawa perutusan yang disampaikan memberikan hala tuju serta landasan terbaik untuk melonjakkan lagi kecemerlangan Institusi Pengajian Tinggi negara, sementara Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Prof. Dr. Asmady Idris. Bersetuju bahawa amanat Menteri KPT amat bertepatan dengan aspirasi pendidikan negara serta menjadi azimat terbaik bagi menghadapi cabaran di peringkat global.

Pensyarah Kanan Program Komunikasi FSSK, Dr. Haryati Abdul Karim turut positif dengan perutusan yang disampaikan.

“Gembira sebab isu-isu dan masalah yang melanda pensyarah seperti beban kerja dan kenaikan pangkat diangkat dalam amanat Menteri.

“Ini bermakna Menteri amat terbuka untuk mendengar dan prihatin terhadap nasib para ahli akademik negara,” kata Haryati.
Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UMS, Yusuf Naim Muhammad Idris Lutfi turut menyuarakan pandangan sama, dengan menyatakan keyakinan beliau terhadap hala tuju tersebut yang mampu membangunkan modal insan secara holistik, khususnya di UMS.


MOHD HANAFI

“Sebagai penuntut ilmu di era pasca-normal, keperluan untuk melahirkan modal insan yang holistik dan seimbang adalah amat penting.

“Justeru, MPP UMS menyeru seluruh mahasiswa UMS untuk bersama-sama menyokong hasrat kerajaan dalam membangunkan masyarakat yang mempunyai kredibiliti, berdaya saing dalam industri, dan memiliki nilai pembelajaran sepanjang hayat.

“Sokongan serta penglibatan aktif mahasiswa adalah kunci utama dalam merealisasikan aspirasi ini demi masa depan negara yang lebih gemilang,” ujar Yusuf.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2025 01:47 PM GMT+8 , Processed in 0.048965 second(s), 16 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list