ROSAK: Kenderaan kompak yang rosak teruk selepas kemalangan.
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas sembilan jam mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), akibat kemalangan di lampu isyarat, pusingan U dekat OUM, Jalan Lintas, di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu membabitkan sebuah motosikal, pacuan empat roda dan kenderaan jenis kompak.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika motosikal yang ditunggang lelaki berusia 30-an dipercayai dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) menuju ke Jalan Lintas.
"Penunggang motosikal dipercayai mengubah haluan dari sebelah kanan ke kiri jalan menyebabkan perlanggaran berlaku dengan kenderaan kompak yang dipandu seorang wanita berusia 30-an.
"Selepas itu, kereta berkenaan tersorong ke hadapan dan melanggar sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 60-an yang sedang berhenti disebabkan lampu isyarat warna merah.
"Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal tercampak di atas jalan raya dan termasuk di bawah kenderaan kompak berkenaan," katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dihantar ke HQEI untuk rawatan lanjut.
"Bagaimanapun kira-kira jam 9 malam Jumaat, polis mendapat makluman daripada Unit Kecemasan HQEI bahawa penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia.
"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Sementara itu, Kasim berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
Selain itu katanya, bagi setiap penunggang motosikal juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika berada di atas jalan raya.
|