SAMMY
PENAMPANG: Polis meminta saksi satu kemalangan maut membabitkan motosikal dan seorang pejalan kaki berhampiran lampu isyarat di simpang Jalan JKR Putatan, di sini, Rabu lalu, tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, pejalan kaki lelaki warga China berusia 50-an, maut ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kemalangan jalan raya membabitkan motosikal dengan pejalan kaki.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bergegas ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi didapati mangsa telah dibawa oleh petugas perubatan menaiki ambulans ke HQE, Kota Kinabalu, manakala penunggang motosikal pula gagal dikesan.
"Pejalan kaki seorang warga China dipercayai dilanggar oleh sebuah motosikal ketika melintas jalan seorang diri menuju arah Pan Borneo ke arah Supermarket Servay, Putatan.
"Mangsa telah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQE akibat pendarahan di kepala," katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, beliau berkata polis meminta kerjasama orang awam atau saksi kejadian untuk tampil memberikan maklumat bagi mengesan suspek penunggang motosikal berkenaan.
"Sebarang maklumat boleh segera disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133," katanya.
|