Abdul Karim bercakap kepada pemberita pada sidang media hari ini.
KUCHING: Pendirian Sarawak terhadap Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) kekal dan tidak berubah, dengan undang-undang itu terus wujud seiring dengan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) dan Kanun Tanah negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan, Sarawak mematuhi akta tersebut sambil menegaskan haknya di bawah undang-undang negeri.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini di Abu Dhabi yang menegaskan semula PDA 1974 sebagai rangka kerja menyeluruh bagi tadbir urus minyak dan gas Malaysia.
Abdul Karim berkata, perkembangan berterusan itu harus dilihat dari sudut positif kerana ia memperkukuhkan peranan Sarawak dalam menguruskan sumbernya.
"Saya hanya boleh cuba mentafsir komen Perdana Menteri. Orang yang berhak ditanya soalan ini ialah Perdana Menteri sendiri, atau Premier.
"Ia susulan Perdana Menteri menyebut Premier, sementara Premier menyebut Perdana Menteri," katanya ketika ditanya pemberita mengenai isu tersebut selepas sidang media Bas Elektrik Metro Kuching Laluan 103 di Bangunan Baitulmakmur II, hari ini.
Beliau menegaskan, keutamaan adalah memastikan Sarawak mendapat manfaat ekonomi daripada sumber gasnya, sama ada di daratan mahupun di pelantar benua.
"Undang-undang adalah buatan manusia, jadi jika sesuatu tidak berfungsi, kita memperhalusinya.
"Kita tidak membenarkan undang-undang menghalang usaha kita untuk membangunkan atau mengekstrak sumber yang ada, sama ada di darat atau di pelantar benua, untuk kebaikan Malaysia," ujarnya.
Abdul Karim menjelaskan PDA 1974 kekal terpakai tetapi beroperasi dalam kapasiti berbeza di Sarawak.
Tambah beliau, Sarawak berfungsi sebagai agregator gas di bawah persetujuan Perdana Menteri, membolehkan negeri mengurus dan membangunkan sumber gasnya dengan berkesan.
Walaupun PDA 1974 wujud bersama undang-undang Sarawak katanya, negeri mengekalkan bidang kuasa ke atas wilayahnya, termasuk tanah, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).
Sebarang aktiviti dalam bidang kuasa ini mesti dirujuk kepada kerajaan negeri atau PETROS yang memegang lesen agregator, tambahnya.
Terdahulu, media melaporkan Anwar di Abu Dhabi berkata, beliau percaya isu berkaitan Petroleum Nasional Bhd (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) berhubung hak pengagihan gas telah diselesaikan melalui beberapa siri rundingan, termasuk pertemuannya dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau menambah tidak ada kekaburan dalam hal polisi, sambil menyatakan PDA 1974 terpakai di seluruh negara dan diterima oleh kedua-dua Kerajaan Sarawak dan PETROS.
Selain itu PDA 1974 katanya, kekal sebagai rangka kerja menyeluruh bagi tadbir urus dalam industri minyak dan gas Malaysia.
Semua perjanjian sedia ada kekal utuh kerana sebarang gangguan terhadap perjanjian akan merumitkan hubungan dengan syarikat-syarikat antarabangsa utama dan perkara ini telah dipersetujui bersama, kata Anwar.
Tambahan pula, Anwar berkata walaupun PETROS telah diberikan kuasa sebagai agregator gas, ia tidak akan mengganggu operasi sedia ada PETRONAS.
|