Mohamad Syukri bersama ikan patin buah yang berjaya dinaikkannya dari Sungai Jelai, Lipis pada Selasa. Foto ihsan Mohamad Syukri
LIPIS - Umpan siput sedut membawa tuah buat seorang penduduk Kampung Mela, Mohamad Syukri Yusof, 45 yang berjaya menjinakkan ikan patin buah seberat tiga kilogram (kg) di Sungai Jelai di sini pada Selasa.
Lebih dikenali Pok Mat, dia menggunakan rawai dan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menaikkan ikan itu kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, ikan tersebut juga tuah buatnya untuk pembuka tirai tahun ini selepas pernah meraih pelbagai jenis ikan di sungai itu setelah lebih 20 tahun pengalaman memancing.
"Sebelum ini saya pernah dapat ikan sama seberat 6.4kg di Sungai Jelai, dijual dengan harga lebih RM1,000.
"Ikan ini memang suka makan haiwan bercangkerang seperti siput sedut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Ujarnya, ikan patin buah atau nama saintifik pangasius nasutus itu terkenal kerana keenakan isinya selain sukar diperoleh dan dijual dengan harga RM450 kepada sebuah restoran di sini.
Tambahnya, Sungai Jelai terkenal dengan pelbagai spesies ikan dan pernah mendapat antaranya ikan tapah, kenerak dan temalian sepanjang pengalamannya di sungai tersebut.
"Ikan pendatang seperti baung merah juga pernah diperoleh dari Sungai Jelai," akuinya.
|