Antara ugutan jenayah yang dilakukan sindiket terbabit dengan menyimbah cat ke atas rumah mangsa yang gagal membayar pinjaman.
JOHOR BAHRU – Kegiatan empat individu termasuk seorang wanita yang mengambil upah melakukan khianat untuk menuntut sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau along akhirnya kecundang apabila mereka diberkas dalam operasi di sekitar bandara raya ini, awal bulan ini.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, keempat-empat suspek yang diberkas masing-masing berusia 17 hingga 48 tahun.
Menurutnya, kesemua mereka disyaki mengambil upah daripada sindiket along untuk membuat ugutan jenayah dengan menyimbah cat ke atas rumah-rumah mangsa yang gagal membayar pinjaman.
“Dalam serbuan yang dilakukan, polis turut merampas peralatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes yang disiasat iaitu telefon bimbit, tong minyak mengandungi cat, nota ugutan dan alat tulis.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek bergiat aktif sejak pertengahan Disember tahun lalu dengan upah dibayar sebanyak RM450 setiap tugasan diselesaikan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, modus operandi yang digunakan sindiket ialah dengan melakukan promosi pinjaman di laman sosial seperti Facebook dan TikTok.
Katanya, sindiket akan terus memasukan wang pinjaman ke akaun mangsa setelah mendapat butiran akaun bank, permit kerja serta alamat rumah meskipun tanpa perjanjian pinjaman serta persetujuan mangsa.
Tambah beliau, along akan memaksa peminjam untuk membayar balik pinjaman dengan kadar bunga sehingga 50 peratus.
“Sekiranya peminjam gagal atau enggan membayar pinjaman, ahli kumpulan akan digerakkan untuk melakukan khianat dengan menyimbah cat bagi tujuan menakut-nakutkan mangsa serta ahli keluarga,”katanya.
Sasaran sindiket adalah warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura dan segala urusan kemasukan serta bayaran balik pinjaman menggunakan akaun bank yang didaftarkan di Singapura.
Kumar berkata, tiga daripada suspek termasuk seorang wanita sedang dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini dibawah peruntukan Seksyen 427, Seksyen 506 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
Kumar berkata, modus operandi yang digunakan sindiket ialah dengan melakukan promosi pinjaman di laman sosial seperti Facebook dan TikTok.
|