KOTAK arak dan rokok dipercayai tidak bercukai ditemui di lorong kecil di Taman Cendana. FOTO ihsan POLIS
Pasir Gudang: Lorong kecil dan sunyi di berhampiran kawasan Jalan Cendana 13, Taman Cendana di sini, dikesan menjadi tempat simpanan minuman keras dan rokok tidak bercukai oleh sindiket penyeludupan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam serbuan 9.30 malam tadi, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas merampas 33 kotak minuman keras dan rokok pelbagai jenama bernilai RM186,033.
"Semua barangan rampasan iaitu 15 kotak rokok dan 18 kotak arak yang disyaki tidak bercukai kastam, akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
"Usaha memburu individu terbabit giat dilakukan dan polis menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hamizan Fakhri di talian 010-4338032 atau hotline IPD Seri Alam 07-3864222," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Disiarkan pada: Januari 15, 2025
|