Dr Noor Hisham berkata, gambarnya memegang lemon bagi menyokong kenyataan palsu yang digunakan scammer baru-baru ini juga adalah hasil manipulasi menggunakan aplikasi tertentu. - Foto FB Dr Noor Hisham
JOHOR BAHRU: Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terus menyalahgunakan nama serta gambarnya bagi membuat kenyataan palsu termasuk mempromosi serta menjual produk kesihatan dan ubat di media sosial.
Bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, beliau kesal apabila nama serta gambar dirinya masih terus disalahguna sekali gus memperdaya masyarakat terutama warga emas.
Katanya, beliau mendapat makluman ramai golongan warga emas bukan sahaja mempercayai malah terpedaya dengan pelbagai kenyataan palsu yang dibuat menggunakan nama serta gambarnya.
"Peringatan kepada semua pengguna media sosial, sila berhati-hati dengan kenyataan palsu yang menggunakan nama dan gambar saya yang kini tular semula.
"Saya akan mengambil tindakan undang-undang dan berharap ini menjadi pengajaran kepada semua.
"Sila berhati-hati dan jangan percaya kepada dakwaan tidak bertanggungjawab daripada scammer serta penipu yang terdesak ini," katanya menerusi kenyataan ringkas kepada NSTP, hari ini.
Sejak 2021, nama dan gambar Dr Noor Hisham disalahguna scammer termasuk bagi membuat kenyataan palsu selain mempromosi dan menjual produk kesihatan termasuk ubat didakwa mampu merawat COVID-19.
Pada Ogos 2021, nama Dr Noor Hisham digunakan bagi menjual ubat Ivermectin kononnya mampu merawat pesakit COVID-19 di media sosial.
Ivermectin adalah ubat yang digunakan untuk merawat parasit seperti parasit usus pada haiwan dan kudis buta pada manusia.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, gambarnya memegang lemon bagi menyokong kenyataan palsu yang digunakan scammer baru-baru ini juga adalah hasil manipulasi menggunakan aplikasi tertentu.
|