Azman Adnan ketika mengadakan lawatan di PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di sini hari ini. FOTO Omar Ahmad
Kota Tinggi: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan bilik khas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas dengan banjir.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, calon SPM juga diberikan ruang rehat dan tidur yang berasingan daripada mangsa banjir di PPS terbabit.
Katanya, kemudahan itu diberikan bagi memastikan calon SPM dapat mengulangkaji pelajaran dalam keadaan yang lebih selesa dan tenang untuk lebih fokus menghadapi peperiksaan.
"Seluruh Johor juga kaedah sama, kita pastikan murid calon SPM mesti ada akses untuk duduki peperiksaan dan untuk tujuan itu kita beri kemudahan. Kita beri pilihan untuk tinggal di asrama sekolah yang ada, kalau tidak sesuai kita sediakan bilik khas di sekolah yang ada PPS untuk kemudahan calon SPM. Keseluruhan berjalan lancar tiada calon SPM (terkesan banjir) yang tidak pergi peperiksaan.
"Pada hari ini di daerah Kota Tinggi terdapat seorang calon SPM yang mengambil peperiksaan subjek Matematik Tambahan. Dan pada Rabu depan sembilan orang calon SPM di daerah ini akan menduduki peperiksaan Sains," katanya ketika ditemui selepas melawat PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) New Kota di sini hari ini.
Menurut Azman, secara keseluruhannya pengendalian mangsa banjir di PPS sekolah berjalan dengan lancar.
Katanya, lawatannya ke tiga PPS termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana dan SK Dato Usman Awang di sini bagi beri fokus kepada kemudahan yang disediakan pihak sekolah untuk anak mangsa banjir.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata pelajar yang menjadi mangsa banjir dan ditempatkan di PPS yang dijadikan sekolah, boleh meneruskan pembelajaran di PPS terbabit.
Katanya ia bagi memudahkan pergerakan dan memanfaatkan minggu akhir sesi persekolahan pelajar yang terjejas banjir.
|