M KUMARASAN (tengah) menunjukkan barang rampasan kes samun ketika sidang media Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri. FOTO Izz Laily Hussein
Iskandar Puteri: Polis menahan seorang lelaki dan merampas barang curi sekali gus menyelesaikan kes samun di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya, Skudai, di sini, dalam tempoh kurang 24 jam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes samun itu daripada seorang lelaki berusia 55 tahun.
Menurutnya, mangsa mendakwa keadaan dalam rumahnya berselerak dan barang-barang serta kereta hilang sebaik bangun tidur kira-kira 7.30 pagi pada 5 Januari lalu.
"Bertindak atas maklumat, polis menahan suspek berusia 35 tahun di Taman Mutiara Utama, Gelang Patah kira-kira 4.20 petang hari sama.
"Semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah dan lima rekod kes dadah, selain saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Kumarasan berkata, modus operandi digunakan suspek adalah memasuki mana-mana rumah yang didapati tidak berkunci sebelum melakukan samun.
Menurutnya, pihaknya turut merampas sebuah Perodua Alza, sebilah pisau, tujuh peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah dan 43 keping wang kertas.
Katanya, suspek direman bermula 6 hingga 17 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
|