Johor Bahru: Keadaan banjir di Johor semakin buruk apabila jumlah mangsa terus meningkat kepada 3,973 orang membabitkan 1,113 keluarga yang berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 8 pagi.
Jumlah itu berbanding 3,779 mangsa (1,023 keluarga) di 36 PPS yang dibuka di lima daerah pada 4 petang semalam.
Daerah terjejas adalah Kota Tinggi dan Kulai yang mencatat pertambahan mangsa, manakala Johor Bahru, Pontian dan Kluang tidak banyak berubah.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Kota Tinggi paling ramai mangsa dengan 1,313 penduduk (376 keluarga) yang ditempatkan di 14 PPS, diikuti Johor Bahru 808 mangsa (232 keluarga) di lima PPS.
"Mangsa banjir di Kulai bertambah kepada 764 penduduk (191 keluarga) yang berada di lima PPS, Pontian (595 mangsa) di sembilan PPS dan Kluang (550 mangsa) yang berlindung di lima PPS," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Azmi turut memaklumkan empat sungai di tahap bahaya iaitu Sungai Kahang di Kluang, Sungai Punggai di Kota Tinggi, Sungai Punggai di Pontian dan Sungai Skudai (Kampung Pasir).
"Tiga sungai lagi berada pada paras amaran, iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Skudai (Kampung Laut) dan Sungai Jemaluang di Mersing," katanya.