CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 9222|Reply: 0

[Johor] Tiba masa balas jasa Mak Yah

[Copy link]
Post time 13-1-2025 10:25 AM | Show all posts |Read mode

MAK Yah menerima penjagaan daripada Lim (kiri) dan Siti Khadijah (tengah) di Flat Jalan Balau, Taman Rinting. Turut kelihatan, Faridah (kanan). FOTO MARY VICTORIA DASS

Pasir Gudang: "Menyedari dia terputus hubungan dengan anak perempuannya sejak 42 tahun lalu, saya berusaha menjaganya dengan sebaik mungkin sejak dia mengalami masalah kesihatan biarpun tiada pertalian darah," kata ibu tunggal, Lim Mook Yee, 58.

Wanita berketurunan Tionghua itu berkata, dia yang tinggal di Flat Jalan Balau, Taman Rinting di Masai, di sini, bersyukur kerana diberi peluang untuk menjaga Syakyah Calid, 72, dan suaminya Ismail Youb, 73, yang tinggal berjiran dengannya kira-kira 30 tahun.

Menurutnya, kehidupan serba kekurangan pasangan warga emas itu yang berdepan isu kesihatan dan kesempitan wang hingga kerap terputus bekalan dapur menyentuh hatinya untuk tampil membantu mereka.

Katanya, Syakyah atau dikenali Mak Yah mengalami patah tulang pinggul selepas jatuh di tandas awal bulan lalu menyebabkannya sukar untuk bergerak walaupun sudah dipasang besi di kaki kanan.

"Mak Yah mengalami masalah penglihatan dipercayai akibat penyakit kencing manis, manakala suaminya juga tidak berapa sihat.

"Justeru, saya mengambil alih tugas untuk memasak buat mereka termasuk sarapan pagi, makan tengah hari atau makan malam hampir setiap hari. Jika tidak sempat, saya akan membelikan mereka makanan secukupnya bagi mengelakkan mereka kelaparan.

"Walaupun berbeza bangsa, saya banyak belajar berkaitan penyediaan makanan dan memastikan semua disediakan kepada Mak Yah dan suaminya adalah makanan halal," katanya.

Lim berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Presiden Permata Baiduri Malaysia merangkap Wanita Ikon Johor, Faridah Hamzah yang menyumbang barangan keperluan kepada pasangan terbabit.

Pasangan warga emas berkenaan adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM400.

Menurutnya, kedudukan rumahnya dan rumah Mak Yah di bangunan sama memudahkannya untuk memantau keadaan pasangan itu kerana amat menyenangi sikap wanita berkenaan sebelum ini.

"Ketika pandemik Covid-19, saya mengalami masalah kesihatan iaitu kerap pening kepala hingga tidak mampu melakukan rutin harian, tambahan pula tinggal seorang diri kerana anak bekerja di Singapura.

"Mak Yah yang menjaga saya selama tiga bulan termasuk tidur di rumah saya tanpa mengharapkan sebarang balasan. Maka, kini tiba masanya bagi saya untuk membalas jasanya dan suaminya yang sudah dimamah usia.

"Tambahan pula, saya sebelum ini tidak berpeluang menjaga ibu bapa dan saya menganggap mereka sebagai orang tua saya," katanya yang turut dibantu jiran Siti Khadijah Hassan, 55.

Sementara itu, Siti Khadijah berkata, peluang menjaga Mak Yah ketika dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, menjadi pengalaman berharga buat dirinya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana dapat beramal dengan membantu pasangan itu termasuk membelikan lampin pakai buang serta barang dapur.

"Saya biasa membersihkan Mak Yah, menukar lampin pakai buang dan tidak berasa jijik kerana meletakkannya di tempat ibu saya.

"Nikmat saya untuk jaga mak bapa sudah tiada, maka saya bersyukur kerana diberi kesihatan baik untuk membantu Mak Yah.

"Mak Yah dan suami tiada anak namun Mak Yah yang berasal dari Tanjung Balai, Indonesia memiliki seorang anak perempuan daripada perkahwinan pertama dan mereka terputus hubungan selama 42 tahun.

"Mak Yah memang ingin bertemu dengan anak mahupun adik-beradiknya namun masih tiada rezeki untuk menjejaki mereka.

"Difahamkan, anaknya bernama Mariani Jafrin berusia 58 tahun sudah berkahwin serta masih tinggal di Indonesia," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 151146725547 atas nama Ismail Youb.


Disiarkan pada: Januari 13, 2025



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

15-1-2025 04:52 PM GMT+8 , Processed in 0.677991 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list