RAHIZAT membersihkan rumah yang disaluti lumpur akibat banjir. FOTO Farid Noh.
Kota Tinggi: Penduduk merayu rancangan tebatan banjir (RTB) di daerah ini segera disiapkan bagi mengelakkan kejadian banjir di Taman Mawai, di sini, terus berdepan bencana banjir.
Penduduk mendakwa, sejak tinggal di kawasan perumahan itu 15 tahun lalu, mereka akan berhadapan sekurang-kurangnya dua kali setahun.
Wakil penduduk, Rahizat Abdul Rahim, 49, berkata penduduk taman berkenaan terpaksa bertahan dengan kejadian banjir kerana sudah tiada tempat lain yang hendak dituju.
Katanya, kebanyakan penduduk di situ golongan pendapatan rendah yang membeli kediaman dengan wang simpanan sejak lebih 20 tahun lalu.
"Kami perlu reda dan bersabar dengan ujian bencana banjir yang berlaku kadang-kadang dua kali setahun walaupun rasa letih dan sedih.
"Ke mana lagi kami nak pergi, inilah kediaman kami. Nak beli rumah di kawasan lain, belum ada kemampuan lagi.
"Beginilah setiap kali banjir, kami akan segera mengemas dan membersihkan apa yang patut walaupun tahu akan berlaku gelombang banjir lagi.
"Jika kami tak bersihkan segera, kediaman yang diselaputi lumpur akan rosakkan kediaman malah barangan yang ada sehingga terpaksa dibuang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Rahizat berkata, selagi projek RTB yang sedang dibina di daerah itu belum disiapkan, selagi itulah penduduk akan hidup dalam kebimbangan.
Sementara itu, pengusaha kuih dan sarapan, Siti Salimah Jumal, 41, berkata walaupun rumah penduduk di Taman Mawai dua tingkat, tidak semua barangan dapat dinaikkan ke tingkat atas berikutan ruang yang sempit.
"Kediaman kami adalah jenis kos murah dua bilik, memang tiada ruang nak simpan barang elektrik seperti mesin basuh, peti sejuk dan peti sejuk beku.
"Jadi, terpaksa letak di atas meja lebih tinggi ketika banjir.
"Saya dan penduduk lain selalu berdoa supaya mimpi ngeri berhadapan banjir setiap tahun berakhir apabila projek RTB ini dapat disiapkan segera," katanya.
Disiarkan pada: Januari 12, 2025
|