'Saya sangka saya yang akan pergi, rupanya anak yang pergi dulu'
Oleh Zuliaty Zulkiffli - Januari 8, 2025 @ 7:26pm [email protected]
Hashim Ismail bapa mangsa kemalangan akibat kabel telekomunikasi melintang ditnegah jalan di Seberang Perai Tengah semalam. - Foto NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
ALOR SETAR: "Sejak dua tiga hari ini saya rasa tak seronok sebab hanya fikirkan mati.
"Saya ingat, saya yang meninggal dulu tetapi tak sangka pula anak sulung yang satu-satunya lelaki dalam keluarga yang pergi dulu," kata Hashim Ismail, 70.
Hashim adalah bapa kepada Mohd Hazri Hashim, 43, yang maut dipercayai mengalami kecederaan di leher dalam satu kejadian di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.
Difahamkan, mangsa yang ketika itu menunggang motosikal ketika pulang kerja dikatakan tidak sempat mengelak apabila palang kren di belakang sebuah lori dikatakan tersangkut pada kabel telekomunikasi yang melintang dan mengakibatkan kabel berkenaan jatuh di atas jalan raya.
Akibat daripada itu, wayar kabel itu terkena pada mangsa menyebabkan motosikalnya terbabas dan jatuh di atas jalan.
Akibat itu, mangsa mengalami kecederaan di leher dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam kenyataan media dikeluarkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris, kabel telekomunikasi yang melintang di tengah jalan itu kemudiannya terkena pada leher Mohd Azri yang kebetulan melalui jalan itu, menyebabkannya terbabas dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bercerita lanjut, Hashim berkata, kali terakhir dia bertemu anak sulung daripada lima beradik itu ketika arwah pulang bersama isteri dan empat anaknya ke rumahnya di Kampung Besar, Mukim Padang Hang, di sini sebelum perayaan Krismas yang lalu.
"Arwah tiada langsung perubahan dan dia kelihatan seperti biasa saja.
"Saya tak sanggup nak lihat jasad anak ketika di bilik mayat di Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam kerana saya kehilangan anak tetapi saya redha," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Hashim berkata, biasanya Mohd Hazri selalu menghubunginya seminggu sekali untuk bertanya khabar tetapi kini dia pergi buat selama-lamanya.
Katanya, arwah sudah lama bekerja sebagai kontraktor di Pulau Pinang dan berulang alik setiap hari dari rumahnya di Taman Angsana, Kulim.
Anak sulung arwah, Fatin Batrisya Mohd Hazri, 18, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan bapanya ketika arwah hendak pergi kerja pagi semalam.
Katanya, bapanya sempat menghantar dua daripada tiga adiknya ke sekolah sebelum dia keluar seperti biasa ke tempat kerja.
"Mulanya saya dapat maklumat kata abah kemalangan tapi tak tahu dia dah tak ada, ingat tak teruk la.
"Tapi bila ibu saudara bagitau abah dah tak ada, saya tak leh kata apa la sebab sedih. Mulanya tak percaya tapi dapat tau abah tak dak di situ jugak la.
"Malam sebelum kejadian arwah kelihatan senyum dan dia tanya saya, kakak puasa ka dan senyum saja," katanya.
Menurutnya lagi, mereka terasa kehilangan arwah dengan kehadiran bulan Ramadan tidak lama lagi selain adik-adik masih kecil dan bersekolah kerana ibu mereka, Zamzarina Atan, 44, tidak bekerja.
Sementara itu, adik iparnya, Fazleen Akmar Ramli, 33, berkata, dia tidak menyangka kejadian itu akan menimpa abang iparnya malah terkejut apabila melihat video kejadian yang ditular di media sosial.
Katanya, pihaknya menyerahkan kepada polis sepenuhnya untuk menjalankan siasatan lanjut dan sekiranya terdapat unsur kecuaian, mereka sekeluarga akan berbincang untuk mengambil tindakan lanjut.
"Buat sementara waktu ini, biarlah selesai semuanya dulu kerana keluarga masih bersedih dan lepas ini kami akan fikirkan apa yang akan dibuat," katanya.
Jenazah Allahyarham Mohd Hazri selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Maarif Kampung Huma, Mukim Padang Hang, di sini jam 12 tengah malam tadi.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/01/1346606/saya-sangka-saya-yang-akan-pergi-rupanya-anak-yang-pergi-dulu
|