Foto hiasan
WASHINGTON: Seorang pesakit warga emas Amerika Syarikat (AS) yang dimasukkan ke hospital akibat selesema burung H5N1, meninggal dunia, kelmarin. Ia menjadi kematian pertama membabitkan manusia akibat virus itu, yang dilaporkan di AS.
Menurut pegawai Jabatan Kesihatan Louisiana, pesakit belum dikenal pasti itu dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti virus pada 18 Disember lalu selepas terdedah kepada ayam peliharaan dan burung liar.
"Pesakit itu berusia lebih 65 tahun dan mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkannya berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit serius," katanya.
Hampir 70 orang di AS dijangkiti selesema burung sejak April tahun lalu, dengan kebanyakan mereka adalah pekerja ladang berikutan virus itu merebak dalam kalangan ayam ternakan dan haiwan tenusu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.
Bagaimanapun pegawai persekutuan dan negeri berkata, risiko terhadap orang awam masih rendah.
Wabak selesema burung berterusan sejak 2022 telah membunuh hampir 130 juta ayam liar dan ternakan, selain menyebabkan 917 ternakan tenusu sakit, menurut CDC dan Jabatan Pertanian AS.
Analisis sampel virus diambil daripada pesakit Louisiana itu menunjukkan ia tergolong dalam genotip D1.1, iaitu jenis yang sama dikesan pada burung liar dan ayam itik di Washington serta kes teruk membabitkan seorang remaja di British Columbia, Kanada, baru-baru ini, menurut CDC.
Ia berbeza dengan genotip B3.13 yang kini merebak dalam kalangan lembu tenusu AS, yang kebanyakannya dikaitkan dengan gejala ringan dalam kes manusia, termasuk konjunktivitis.
|