Kumpulan yang menyokong Kim Shin-hye, memegang sepanduk di hadapan Mahkamah Daerah Gwangju, selepas perbicaraan semula pada hari Isnin mengubah keputusan awal dan membebaskannya daripada semua tuduhan. - Foto AGENSI
SEOUL: Seorang wanita berusia 47 tahun dibebaskan daripada tuduhan membunuh bapanya dalam satu perbicaraan semula pada semalam, selepas menjalani hukuman hampir 25 tahun di penjara atas kesalahan yang didapati bukan dilakukannya.
Mahkamah Cawangan Haenam di Mahkamah Daerah Gwangju mendapati Kim Shin-hye tidak bersalah atas tuduhan membunuh bapanya dan membuang mayat mangsa pada tahun 2000, dengan alasan kekurangan bukti dan ketiadaan motif yang jelas untuk tertuduh melakukan jenayah terbabit.
Mahkamah menjelaskan bahawa pengakuan Shin-hye ketika siasatan yang menjadi fokus utama sabitan bersalah lebih dua dekad lalu, tidak boleh digunakan sebagai bukti memandangkan beliau sudah menarik balik kenyataan itu.
Shin-hye sebelum ini mendakwa beliau berbohong ketika siasatan polis untuk melindungi abangnya daripada dipenjarakan, kerana percaya abangnya akan dihantar ke penjara tanpa campur tangan dirinya.
Walaupun menarik balik pengakuannya, Shin-hye dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Agung pada tahun 2001.
Shin-hye ditahan sejak disiasat atas tuduhan membunuh bapa pada tahun 2000.
Mahkamah itu dalam keputusan berkata kemungkinan besar Shin-hye membuat pengakuan palsu mengenai pembunuhan berkenaan atas pelbagai sebab.
Mahkamah turut menyatakan bahawa tidak jelas sama ada kematian bapa Shin-hye disebabkan pengambilan sejumlah besar pil tidur seperti yang didakwa penyiasat.
Bedah siasat terhadap mangsa tidak menunjukkan sebarang petunjuk bahawa beliau mengambil ubat dalam dos yang besar, tetapi kandungan alkohol dalam darahnya yang sangat tinggi iaitu 0.303 peratus ketika kejadian yang mungkin menjadi punca kematian.
Mahkamah juga menyatakan bahawa dakwaan penderaan seksual oleh bapa Shin-hye yang pada awalnya dianggap sebagai motif jenayah, tidak kelihatan benar.
Shin-hye dalam kenyataan kemudian mendakwa beliau berbohong mengenai penderaan seksual berkenaan selepas dipaksa oleh seorang saudara yang mengatakan ia boleh membantu mengurangkan hukumannya.
Mahkamah dalam keputusan berkenaan berkata, walaupun terdapat keraguan mengenai tindakan Shin-hye meminta adik-beradiknya memberikan kenyataan palsu dan ketidakkonsistenan dalam keterangannya sendiri, keadaan itu sahaja tidak mencukupi untuk menyokong sabitan bersalah.
Walaupun sabitan awal oleh Mahkamah Agung Korea Selatan pada tahun 2001, dakwaan bahawa terdapat penyelewengan ketika siasatan polis terhadap Shin-hye timbul lewat.
Shin-hye mendakwa pihak polis menggeledah rumahnya tanpa waran dan memaksanya untuk membuat pengakuan.Kes asal dilakukan terutamanya berdasarkan pengakuan Shin-hye bersama bukti situasi seperti prosedur insurans hayat bapanya yang banyak, di mana tiga daripadanya sudah dibatalkan pada masa kematiannya.
Walaupun polis mendakwa mangsa diberi ubat tidur dalam minuman, mereka tidak menemui minuman berkenaan, pil itu atau kesan ubat dalam mana-mana bahan yang dikatakan digunakan oleh Shin-hye dalam jenayah yang didakwa itu. - AGENSI
|