Gambar hiasan. - Foto NSTP
BANGKOK: Kadar bil elektrik Thailand mungkin naik atau turun selepas April 2025, susulan keputusan kerajaan untuk mengurangkan tarif elektrik kepada 4.15 baht (54 sen) per kilowatt jam (unit), berbanding 4.18 baht (55 sen) per unit pada 2024.
Menurut laporan Bangkok Post, tarif elektrik baharu berkenaan akan berkuat kuasa dari Januari hingga April 2025.
Menteri Tenaga Thailand, Pirapan Salirathavibhaga, berkata beliau dimaklumkan mengenai pengurangan tarif elektrik selepas perbincangan antara Suruhanjaya Pengawalseliaan Tenaga (ERC) dan agensi kerajaan.
ERC mengumumkan pada Disember tahun lalu bahawa pihaknya akan meminta pandangan sektor peniagaan dan isi rumah melalui tinjauan dalam talian sama ada mereka mahu tarif elektrik kekal pada kadar 4.18 baht per unit atau dinaikkan dalam tempoh empat bulan pertama 2025.
Bagaimanapun, ERC memutuskan untuk menetapkan kadar maksimum 4.15 baht, dengan alasan pihak berkuasa bersetuju dengan cadangan bagi mengurangkan beban kewangan rakyat.
Menurut ERC, faktor utama menentukan harga elektrik termasuk harga gas serta keperluan untuk memperuntukkan sebahagian daripada bil elektrik bagi membayar balik hutang kepada Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) dan PTT Plc, konglomerat minyak dan gas Thailand.
Dalam pada itu, EGAT memerlukan dana untuk memastikan status kewangannya kekal kukuh selepas mencatatkan kerugian besar akibat skim subsidi harga elektrik sebelum ini.
Sebahagian lagi bil elektrik akan diberikan kepada EGAT dan PTT untuk penjualan gas asli mereka pada harga di bawah pasaran bagi membantu mengekang kos tenaga.
Gas, daripada sumber domestik dan import gas asli cecair (LNG), merangkumi 60 peratus daripada bahan api yang digunakan untuk menjana elektrik di Thailand.
Bekalan gas domestik yang terhad memaksa Thailand mengimport LNG, tetapi disebabkan turun naik harga gas global, negara itu mungkin perlu membeli LNG yang mahal, sekali gus meningkatkan kos penjanaan elektrik.
Walaupun harga LNG di pasaran semasa mungkin jatuh pada tempoh tertentu, ia tidak bermakna tarif elektrik akan turut turun kerana ERC masih perlu membayar balik dana kepada EGAT dan PTT. - AGENSI
|