SEORANG anggota pasukan keselamatan Palestin berkawal di Jenin di utara Tebing Barat yang diduduki pada 29 Disember 2024. FOTO fail AFP
Ramallah: Seorang lelaki Palestin dan anak lelakinya ditembak mati pada Jumaat di kem pelarian Jenin, Tebing Barat yang diduduki Israel, menurut pasukan keselamatan Palestin, yang menuduh pejuang sebagai punca kekerasan terbaharu di wilayah itu.
Bandar Jenin dan kem pelarian bersebelahan menyaksikan pertempuran kerap antara pejuang dan pasukan keselamatan pihak berkuasa Palestin berpangkalan di Ramallah, yang tercetus akibat penangkapan pada penghujung tahun lalu.
Pada Jumaat, Mahmud al-Hajj dibunuh bersama anak lelakinya, Qassem, manakala anak perempuannya cedera dalam satu kejadian di kem Jenin, menurut jurucakap pasukan keselamatan Palestin, Anwar Rajab.
"Kawasan kejadian itu berlaku di luar skop operasi di mana pasukan keselamatan aktif dalam kem," kata Anwar, sambil menuduh 'individu yang tidak berperaturan' sebagai pelaku pembunuhan itu.
Usaha AFP untuk menghubungi keluarga Mahmud bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu tidak berjaya.
Pengarah hospital kerajaan di Jenin, Wisam Bakr, mengesahkan kepada AFP, mayat Mahmud dan anak perempuannya yang cedera dibawa ke fasiliti, manakala mayat Qassem dipindahkan ke hospital lain di Jenin.
Bakr tidak mendedahkan butiran mengenai keadaan kematian mereka.
Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah dan Bulan Sabit Merah Palestin juga tidak memberi maklum balas terhadap sebarang komen daripada AFP.
Kematian pada Jumaat menjadikan jumlah kematian sebanyak 14 orang sejak pertempuran tercetus antara pejuang dan pasukan keselamatan Palestin pada awal Disember, menurut pegawai Palestin.
Pejuang di kem pelarian Jenin kebanyakannya tergolong dalam kumpulan yang dikenali sebagai Briged Jenin, yang termasuk anggota Hamas dan Jihad Islam Palestin.
Ketegangan di Jenin, kawasan sering menjadi sasaran serbuan tentera Israel, meningkat selepas penangkapan beberapa aktivis dan pejuang oleh pasukan keselamatan Palestin, baru-baru ini.
Disiarkan pada: Januari 4, 2025
|