|
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim - Disember 26, 2024 @ 8:00pm
[email protected]

Foto REUTERS
PUTRAJAYA: Bermula tahun depan, kerajaan akan menuntut semula nilai ganti rugi bekalan bersubsidi diseleweng daripada pesalah sindiket penyeludupan bagi menangani kerugian ditanggung negara.
Langkah itu adalah antara cadangan penambahbaikan bagi memperkasakan Ops Tiris yang dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).
"Antara tumpuan penguatkuasaan kita tahun hadapan ialah hukuman lebih tegas dan keras.

Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Putrajaya. - Foto NSTP/ Aziah Azmee
"Sebagai contoh, mereka yang terbabit dalam penyelewengan akan digantung lesen dan kami akan batalkan lesen (mereka).
"Kedua, kemungkinan besar kes membabitkan 'recovery' (tuntutan) balik contohnya kerugian dialami kerajaan, kita ada agensi seperti pihak LHDN, SPRM dan NFCC, kita akan bekerjasama mendapatkan kembali (nilai kerugian itu).
"Kita akan ambil tindakan untuk mendapatkan balik (nilai) kerugian terbabit daripada pihak menyeleweng," katanya pada temubual bersama BH dan TV3, baru-baru ini.
Azman berkata, penambahbaikan itu antara sinergi yang akan dilaksanakan dan menjadi isyarat Ops Tiris akan diteruskan tahun depan.
Katanya, ada beberapa penambahbaikan dirancang supaya segala usaha dilaksanakan dapat membantu menyelamatkan ketirisan wang negara.
"Ops Tiris bukan sahaja diteruskan tetapi ditambah baik untuk memastikan apa yang dihasratkan kerajaan dapat dilaksanakan.
"Kita bukan menghalang subsidi dan kita tidak pernah menghentikan subsidi, tetapi subsidi ini disasarkan kepada golongan yang betul-betul layak dan memerlukan.
"Ini juga bagi menyelamatkan wang negara daripada ketirisan dan boleh membantu menambah baik fiskal kerajaan.
"Penjimatan daripada penyelewengan boleh diperuntukkan untuk program yang memanfaatkan rakyat," katanya.
Ops Tiris 3.0 yang dilancarkan di seluruh negara pada 1 Januari lalu, merekodkan nilai rampasan pelbagai barangan terkawal dan bersubsidi bernilai RM90.8 juta setakat Isnin lalu.
Rampasan petrol RON95 merekodkan angka tertinggi dengan 933 kes diikuti diesel sebanyak 734 kes, minyak masak (472 kes), gula (241 kes), LPG (197 kes) dan tepung gandum (99 kes).
Sejumlah 616 tangkapan dilakukan dalam tempoh sama membabitkan 490 rakyat tempatan, dua penduduk tetap dan 124 warga asing.
|
|