Langkawi: Burung kakak tua spesies Indian Ringneck diberi nama 'Aali' yang hilang selama empat hari sudah kembali ke pangkuan pemiliknya, malam tadi.
Aali berusia setahun hilang pada 6 petang Ahad lalu selepas menyertai pameran statik di reruai Persatuan Pencinta Burung Paruh Bengkok Langkawi sempena Karnival Sepakat Anak Pulau, di sini.
Pemiliknya, Nur Hamzani Hamzah, 38, berkata dia bersyukur kerana burung kakak tua yang dipelihara sejak setahun lalu ditemui semula pada 8 malam tadi.
"Selepas Aali terlepas dari pegangan dan terbang pergi pada petang Ahad lalu, saya memujuk hati untuk reda, selain pasrah kerana tiada harapan lagi untuk mendapatnya kembali.
"Tiba-tiba saya menerima panggilan telefon malam tadi mengatakan seorang pemilik bengkel kenderaan di Kampung Kuah, di sini, menemui Aali dalam kontena di bengkelnya," katanya.
Nur Hamzani berkata, sejak burung kakak tu itu hilang, dia melakukan pelbagai kaedah pencarian termasuk memuat naik status di akaun media sosial.
"Saya lebih risau sebab ketika terlepas, Aali masih ada rantai sepanjang 0.3 meter di kaki, jadi risiko jika rantai itu terbelit pada dahan atau ranting pokok adalah tinggi, sekali gus boleh menyebabkan kematian.
"Kebetulan kejadian berlaku selepas seminggu saya tampil memperbaharui lesen pemeliharaan yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya.
Katanya, jarak antara lokasi terakhir sebelum Aali hilang dan tempat burung itu ditemui semula kira-kira 2.6 kilometer.